comscore
Tumpuan :
Politik

Tindakan Mohd Rafiq kebudak-budakan, tidak matang – PAS Tangga Batu

Datuk Muhammad Rajab Akmal Abdul Halim.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: PAS Kawasan Tangga Batu menyifatkan tindakan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti, semalam sebagai kebudak-budakan dan tidak matang.

Ketua Cawangan PAS Kampung Gelam Kawasan Tangga Batu, Datuk Muhammad Rajab Akmal Abdul Halim berkata, tindakan Mohd. Rafiq itu memperlihatkan kelemahan peribadinya yang tidak mampu berlapang dada dalam menerima keputusan pucuk pimpinan.

Keputusan itu juga katanya, terlalu bersifat peribadi tanpa memikirkan perjuangan parti yang sedang berusaha keras dalam memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Dia (Mohd. Rafiq) bertindak keluar parti itu hak peribadi tak libatkan apa-apa kesan jentera pilihan raya dan bagi saya ia sikap kebudak-budakan, sepatutnya dia matang.

“Isu begini tak timbul kerana kita dah serahkan segala keputusan tu pada kepimpinan, kita akur dan walak malah andai kata Bersatu masuk (dijadikan calon) pun kita tak ada isu.

“Peringkat awal kita nampak apa yang berlaku atas krisis-krisis yang dahulu dalam Muafakat Nasional (MN), kita tak mahu rentetan itu berterusan dalam Perikatan Nasional (PN) kerana ia merugikan kita dan menguntungkan pihak lawan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan bekas Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu itu juga tidak memberikan impak yang besar kepada misi parti pada PRU-15.

“Kita akan bantu juga Bersatu kerana kita dalam misi yang dibawa kepimpinan pusat, dibawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu misi penyatuan ummah, jadi tak timbul kita nak boikot calon Bersatu.

“Saya lihat kesan mungkin sekadar calar di tangan, tidaklah sampai luka dalam, sekadar bertanda sahaja pada kulit dan tidaklah rasa sampai boleh menggugat kestabilan parti,” katanya.

Tambahnya, kekecewaan tidak dicalonkan di kawasan sasaran adalah sebahagian asam garam dunia politik.

“Jiwa seorang pejuang tidak sepatutnya terlalu rapuh sebaliknya perlu memliki sifat berlapang dada serta berfikiran terbuka demi membawa misi parti,” ujarnya.

Semalam, Mohd. Rafiq mengumumkan keluar parti dan meletakkan semua jawatannya termasuk Naib Presiden Bersatu serta-merta.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan susulan kecewa dengan keputusan Bersatu yang tidak mengotakan janji untuk mencalonkannya bagi Parlimen Tangga Batu, sebalik dicalonkan di kerusi lain termasuk Bagan Datuk di Perak.

Loading...
Terkini