comscore
Tumpuan :
Politik

Tindakan Mohd Rafiq keluar Bersatu tidak melemahkan parti

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Tindakan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tidak akan melemahkan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, jentera Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetap kukuh dan tidak terjejas dalam membuat persediaan untuk pilihan raya berkenaan.

Ini kerana jelas beliau, keputusan bekas Naib Presiden Bersatu itu bersifat peribadi dan tidak melibatkan jawatankuasa bahagian dan sayap Tangga Batu yang masih kekal komited bersama Bersatu.

“Bersatu Negeri Melaka mengambil maklum atas perletakan semua jawatan dan keahlian Bersatu Datuk Mohd Rafiq berkuat kuasa serta merta seperti yang diumumkannya hari ini.

“Kenyataan beliau bersifat peribadi dan tidak melibatkan jawatankuasa bahagian dan sayap bahagian Tangga Batu yang masih kekal komited bersama Bersatu” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Dr Mohd. Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, Bersatu Melaka juga akan terus kukuh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

“Kami semua ahli Bersatu Melaka kekal komited mempersiapkan jentera PN dalam menghadapi PRU-15 dan berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan PN menang waima siapa pun calon yang akan dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat.

“Bersatu Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Mohd Rafiq atas segala jasa yang telah dicurahkan dan semoga beliau terus maju jaya,” katanya.

Petang tadi, Datuk Mohd Rafiq dalam satu sidang media tergempar mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam Bersatu yang disertainya sejak 2016 berkuat kuasa serta merta.

Tindakannya itu, menurut bekas Pengerusi PN Melaka itu susulan namanya tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU-15 walaupun pada peringkat awal pucuk pimpinan parti memaklumkan beliau sebagai calon di kerusi berkenaan.

Surat rasmi peletakan jawatan juga sudah diserahkan beberapa hari lalu.

Loading...
Terkini