comscore
Tumpuan :
Politik

Tindakan UMNO pecat 4 ahli wajar – Johari

Calon BN Parlimen Titiwangsa P119, Datuk Seri Johari Ghani menziarah pengundi di Desa Pandan, hari ini. -Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO memecat empat ahlinya yang bertanding atas tiket bebas dan parti lawan adalah wajar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam mana-mana parti sekalipun, jika ada ahli tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, maka mereka tidak layak untuk menjadi ahli parti berkenaan.

“Ini (memecat) memang sepatutnya pun UMNO buat begitu kerana kita tidak boleh ada ahli parti yang melanggar peraturan parti.

“Mana-mana parti pun, sama ada PAS, DAP, PKR, UMNO, MCA atau MIC, sekiranya ahli-ahli tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, maka dia tidak layak menjadi ahli parti.

“Mana boleh ahli yang duduk dalam satu parti, kemudiannya bertanding dalam Pilihan Raya yang parti dia sendiri bertanding, tak boleh,” katanya selepas selesai menziarahi 30 rumah di Blok A dan B Desa Pandan hari ini.

UMNO dalam kenyataan hari ini mengumumkan pemecatan empat ahlinya yang bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata empat ahli berkenaan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, penyandang kerusi Parlimen Arau dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran), yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Turut digugurkan keahlian Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kawasan Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, selain Datuk Azahar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis.

Dalam pada itu mengulas mengenai sesi kempennya hari ini, Johari yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Titiwangsa berkata, kempennya pada hari ketiga berjalan lancar walaupun terpaksa mengharungi hujan untuk bertemu penduduk setempat.

“Penerimaan penduduk di sini (Desa Pandan) amat baik dengan ada yang masih ingat saya masih wakil rakyat walaupun kalah pada PRU lalu.

“Saya selepas kalah PRU lalu, saya menubuhkan Yayasan Bina Nusa untuk membantu penduduk yang memerlukan di sini setakat mana yang mampu,” katanya.

Loading...
Terkini