comscore
Tumpuan :
Politik

Tindakan wajar pecat, gantung pemimpin UMNO – Penganalisis

Foto Hiasan

ALOR SETAR: Pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin adalah satu keputusan yang wajar bagi mengukuhkan hala tuju dan kestabilan parti.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata tindakan itu penting kerana sebilangan pemimpin dan ahli UMNO sudah melampaui batas sehingga mengakibatkan perpecahan dalaman.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memang terdapat beberapa isu yang perlu ditangani UMNO, jadi tindakan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin adalah fasa yang perlu untuk pembangunan parti.

“Keputusan itu adalah proses biasa dalam sesebuah parti ke arah memastikan kestabilan dan perpaduan. Pimpinan UMNO juga perlu mempamerkan ketegasan, jangan ada ahli parti yang menentang keputusan parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan MKT UMNO yang memecat bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif pula digantung keahlian selama enam tahun.

Mohd Azizuddin berkata, keputusan Ahmad Zahid bagaimanapun tetap akan memberi kesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun ia lebih minimum memandangkan UMNO kini bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya percaya keputusan yang dibuat sudah mengambil kira risiko yang bakal dihadapi UMNO dan ia akan memberi impak minimum.

“Namun, jika UMNO meneruskan pilihan raya secara solo ia boleh menimbulkan cabaran besar kepada parti.

“Gabungan dengan PH menawarkan kelebihan strategik untuk UMNO kerana peluang untuk menang PRN di Selangor dan Negeri Sembilan lebih cerah memandangkan PH ada pengaruh besar di negeri itu.

“Namun, landskap politik Kedah, Kelantan dan Terengganu jelas menunjukkan cabaran yang lebih besar, saya percaya UMNO sudah mengambil pendekatan menyeluruh dalam membuat keputusan dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, ahli yang dipecat dan digantung mempunyai hak untuk mencabar keputusan itu dan berpotensi dialu-alukan kembali ke dalam parti.

“Konflik dalaman parti bukan perkara luar biasa, bukan semua orang boleh berpuas hati dengan setiap keputusan.

“Masih ada peluang untuk ahli itu untuk berdamai dengan parti dengan syarat mereka bersedia untuk mengakui kesilapan dan membuat rayuan melalui saluran yang sepatutnya.

“Dari segi sejarah, terdapat kes ahli yang digantung sementara, tetapi penggantungan mereka akhirnya ditarik balik. Justeru, kemungkinan mereka yang sebelum ini dipecat daripada parti boleh kembali,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini