comscore
Tumpuan :
Politik

Tinggal 10 Hari Lagi Untuk Pilih Dan Muktamad Calon

Parti-parti politik kini giat menyusun strategi dan memuktamadkan calon terbaik masing-masing sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

KUALA LUMPUR: Berbaki 10 hari lagi sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), parti-parti politik kini mengejar masa mengatur senarai calon masing-masing sebelum memuktamadkan calon terbaik untuk mendapatkan mandat rakyat.

Proses saringan ketat ditetapkan seperti melihat rekod kebankrapan di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia, selain semakan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kes berkaitan rasuah, jenayah dan trafik.

Bagi Barisan Nasional (BN), proses saringan akhir sedang dilakukan selepas menerima senarai calon dari 191 bahagian dan kawasan pilihan raya sejak dua minggu lalu sebelum calon akhir dimuktamadkan ibu pejabat.

BN dijangka membuat pengumuman rasmi barisan calon mewakili tiga parti terasnya, UMNO, MCA dan MIC pada minggu depan, yang dijangka dibuat di setiap negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan akan memuktamadkan senarai calon gabungan itu, selewat-lewatnya tiga hingga lima hari sebelum penamaan calon pada 5 November.

Bagi Pakatan Harapan (PH), sebahagian kecil calon mereka sudah diumumkan, dengan PKR dijadual membuat pengumuman senarai lengkap pada satu majlis di Ampang, Selangor, Jumaat ini.

Nama-nama besar seperti Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diumumkan bertanding di Parlimen Tambun, manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula di Parlimen Port Dickson, kerusi yang ditinggalkan Anwar.

Berbeza dengan BN, PKR membuka permohonan kepada ahli, pemimpin dan mana-mana individu yang layak untuk mencalonkan diri sebagai calon PRU-15 parti itu mulai 6 Oktober lalu, melalui pendaftaran secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli, berkata sebaik permohonan berkenaan ditutup minggu lalu, seramai 1,673 anggota parti itu menyatakan hasrat bertanding dalam PRU kali ini.

Semua permohonan akan dinilai dari segi pengalaman dalam parti, sumbangan kepada masyarakat, kebolehan dan kepakaran untuk menjadi wakil rakyat dan capaian di media sosial.

Proses seterusnya adalah dua atau tiga nama yang layak diketengahkan sebagai calon akan disenarai pendek mengikut kawasan pilihan raya, sebelum dibawa ke peringkat pucuk pimpinan PKR untuk dimuktamadkan.

Bagi DAP, beberapa calon sudah diumumkan, termasuk Setiausaha Agung, Anthony Loke di Parlimen Seremban dan Cha Kee Chin (Rasah), manakala penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman disebut-sebut bakal diletakkan di Bentong.

Selain itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen (Stampin), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Mordi Bimol (Mas Gading), Larry Jabul (Serian), Tony Chiew (Bintulu) serta Oscar Ling di Parlimen Sibu.

Sekutu PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengumumkan senarai akhir calon dalam masa terdekat, namun beberapa nama sudah diumumkan, termasuk Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad yang akan beralih dari Shah Alam ke Titiwangsa.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menetapkan semua calon PRU parti itu menandatangani aku janji serta lafaz ikrar menolak rasuah dan tidak melanggar akta SPRM.

“Semua calon akan angkat sumpah lafaz ikrar dengan nama Allah bahawa mereka komited menentang dan tidak akan membuat sesuatu yang menyalahi akta SPRM,” kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof P Sivamurugan, berkata pengumuman calon lebih awal, khususnya calon Perdana Menteri memberi ruang parti mengukur tahap sentimen dan penerimaan rakyat terhadap calon mereka. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini