comscore
Tumpuan :
Politik

“Tok Ben Tidak Pernah Jejak Kaki Ke Bahagian UMNO Arau”- Shahidan

ARAU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan gagal melunaskan pertimbangannya terhadap senarai lima calon yang diserahkan oleh UMNO Bahagian Arau bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah apabila tidak dipilih namun apa yang mengecewakannya adalah pemilihan calon bagi Parlimen Arau adalah di luar daripada lima calon yang dihantar.

“Saya secara peribadi tiada masalah sekiranya tidak dipilih bertanding, namun calon pengganti mestilah seorang yang boleh membawa kemenangan kepada parti.

“Kalau calon itu dari kriteria calon boleh menang saya tiada masalah, bukannya calon mesin padi dan tidak pernah jejak kaki ke bahagian ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penyokongnya di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini malam tadi.

Berdasarkan pengumuman rasmi calon Barisan Nasional (BN) malam tadi, nama Shahidan digugurkan bagi Parlimen Arau dan digantikan oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman atau dikenali sebagai ‘Tok Ben’ dalam kalangan masyarakat di Perlis.

Nasib yang sama juga menimpa penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan selepas tempatnya digantikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Susulan itu juga, Shahidan menggesa Ahmad Zahid supaya melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti utama orang Melayu itu selepas ini.

“Pandangan saya senang, BN akan kembali pulih kalau Zahid berhenti dan tak bertanding (dalam PRU-15).

“Malah, saya lebih memilih calon pengganti yang ada memegang jawatan dalam peringkat Bahagian Arau, ini langsung tiada jawatan dalam bahagian,” katanya.

Shahidan mendedahkan bahawa calon penggantinya itu pernah menghubunginya bagi memaklumkannya untuk bertanding di Parlimen Arau namun ia tidak mendapat restu di peringkat bahagian.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini