comscore
Tumpuan :
Politik

Tok Mat layak diangkat Timbalan Perdana Menteri

Tok Mat antara nama disebut mengisi kuota BN sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selayaknya diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan berikutan kredibilitinya diterima rakyat dan parti.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kemenangan besar Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat di Parlimen Rembau dan pengamalan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mampu memberi impak positif.

“Saya yakin rakyat dapat menerima Tok Mat (Mohamad Hasan) dan beliau dapat bersama membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin Kerajaan Perpaduan menangani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Cabaran politik kini amat berbeza dan dinamika yang berlaku pada PRU-15 ini cukup luar biasa. Jadi gandingan baik dan mantap ini, pasti dapat mengekalkan kestabilan politik negara untuk beberapa tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara Khamis lalu, Anwar memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Anwar berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Semalam Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyokong sekiranya Mohamad diketengahkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang disifatkannya mempunyai ketokohan untuk dilantik ke jawatan berkenaan.

Mengenai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan, Muqharabin berkata, antara pemimpin muda yang perlu diberikan ruang termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

“Jika ingin melihat sebuah perubahan politik baharu buat negara, Perdana Menteri perlu berani mengangkat pemimpin muda untuk bersama beliau dalam mengemudi negara supaya setiap lapisan rakyat tidak tertinggal.

“Saya hanya mengharapkan kerajaan ini dapat membawa perubahan negara ke arah kemajuan yang mapan dan mengembalikan keyakinan pelabur kepada Malaysia.

“Pada masa sama, keharmonian kaum antara semua bangsa di dalam pelbagai parti, dapat diterjemahkan ke arah kemakmuran yang sewajarnya serta sentiasa hormat menghormati sesama kita.

“Jangan lagi ada kenyataan berbaur perkauman dan mengganggu gugat ketenteraman awam selepas ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini