comscore
Tumpuan :
Politik

Tolak politik kebencian, pesan KJ kepada pengundi muda

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hadir program ‘Selangkah Menara Gading dan Dialog Awam Ikon Malaysia yang dihadiri seramai 600 pelajar STPM negeri Selangor di UITM Puncak Alam.

PUNCAK ALAM : Tolak politik kebencian. Itu pesan Khairy Jamaluddin kepada generasi muda terutama mereka yang kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Kenyataan itu dibuat ketika calon BN Parlimen Sungai Buloh itu ditanya oleh seorang pelajar menerusi sesi soal jawab pada Program Selangkah ke Menara Gading dan Dialog Awam Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Pelajar itu bertanya kepada Khairy yang juga Menteri Kesihatan apabila terdapat segelintir pihak yang memainkan isu perkauman, keagamaan dan idealogi sepanjang kempen PRU-15.

“Jawapannya senang. Jawapannya adalah tolak politik kebencian. Banyak sangat perkara negatif. Sudah tentu dalam pilihan raya seseorang itu bebas untuk mengkritik. Kalau tak bebas untuk mengkritik ia bukanlah demokrasi. Tapi kalau nak mengkritik itu biarlah atas fakta.

“Tetapi kalau dalam ceramah asyik kutuk dan fitnah orang dengan kata orang ini Taliban, orang ini Komunis atau orang ini LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) adakah ia bagus? Apa kebaikannya untuk rakyat?

“Kalau nak tuduh orang, siasat dan bawa ke mahkamah itu caranya. Orang muda bukan nak dengar kebencian. Orang nak dengar penyelesaian. Jadi, keluarlah pada Sabtu ini (mengundi). Hantarkan isyarat kepada orang politik yang suka menyemai kebencian dan beritahu kepada mereka, ‘ini adalah gelombang baharu pengundi Malaysia yang tolak kebencian’,” katanya.

Pada majlis anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) itu dihadiri lebih 600 pelajar yang terdiri daripada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari negeri Selangor.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Yang Di-Pertua Pertubuhan Amal Kebajikan dan Masyarakat, Datuk Zein Isma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi dan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, Rasydan Mohd Hassan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini