comscore
Tumpuan :
Politik

Tuan Ibrahim dedah PN tawar Wan Rosdy jawatan Kabinet atau kekal MB

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan Perikatan Nasional (PN) menawarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail jawatan dalam Kabinet jika gabungan itu membentuk kerajaan Persekutuan.

Menerusi  video dimuat naik di Facebook, beliau berkata, PN memberi pilihan kepada Wan Rosdy jawatan Persekutuan menerusi lantikan sebagai Senator atau kekal di peringkat negeri sebagai Menteri Besar.

“Dalam pertemuan kali pertama, kami memaklumkan sekiranya PN membentuk kerajaan, tawaran kami kepada beliau adalah menjadi menteri penuh di peringkat Persekutuan dengan menjadikannya Senator. Jika beliau mahu terus kekal di Pahang, kita kekalkan beliau sebagai Menteri Besar.

“Kita juga maklumkan bahawa barisan EXCO negeri akan dibahagikan 50-50 antara PN dan Barisan Nasional (BN), manakala jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri diberi kepada PN dan Timbalan Speaker kepada BN.

Jawatan Timbalan Menteri Besar juga akan diberikan kepada PN,” katanya menerusi video itu yang menjelaskan perkara yang berlaku dalam usaha PN membentuk kerajaan Pahang bersama BN.

Semalam Wan Rosdy sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.

Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Pelantikan Pengerusi BN Pahang itu dipersetujui BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU-15, BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi, manakala PN pula memperoleh 17 kerusi.

Tuan Ibrahim berkata, PN juga menawarkan lima jawatan EXCO kepada BN yang juga sama banyak jawatan bagi PN yang mana dirasakan adil kerana PN dan BN memenangi kerusi yang agak seimbang.

Beliau berkata, PN mengadakan pertemuan bersama Wan Rosdy sebanyak dua kali termasuk bersama Pemangku Raja Pahang yang meminta dua gabungan ini berbincang mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan antara PN, BN dan PH.

“Dalam pertemuan terakhir, Wan Rosdy maklumkan PN akan diberikan satu kerusi EXCO kalau PN mahu bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami terpaksa menolak kerana kami memenangi 17 kerusi, PH hanya lapan tapi diberi dua EXCO, ini tidak adil dan kita buat keputusan PN kekal sebagai pembangkang di Pahang.

“Kami sudah memberi tawaran terbaik kepada BN, namun mereka menolaknya dan kami akur dengan keputusan muktamad dibuat BN untuk membentuk kerajaan negeri bersama PH,” katanya.

Loading...
Terkini