comscore
Tumpuan :
Politik

Tular Senarai Calon Perbuatan ‘Budak Nakal’

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka menyifatkan senarai enam nama calon yang tular termasuk nama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bertanding kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebagai perbuatan ‘budak nakal.’

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya hairan dengan penularan itu apabila enam nama calon berkenaan antara senarai yang telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat UMNO dan BN.

“Itu merupakan satu spekulasi (senarai calon) mungkin betul, mungkin tidak.

“Maka nama-nama yang disiarkan itu saya mengambil pendekatan adalah spekulasi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, di Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Yang Dipertua MPAG, Saifuddin Abdul Karim.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai senarai calon yang tular itu.

“Yang tular saya tak tahu, pengumuman calon akan dibuat pada satu atau dua November oleh Presiden.

“Jadi yang tular jangan percaya, kalau datang dari orang parti sendiri bolehlah kita percaya,” katanya.

Malam tadi tular di aplikasi WhatsApp senarai enam nama calon parlimen termasuk Sulaiman bagi calon Parlimen Masjid Tanah, ADUN Klebang calon Parlimen Alor Gajah dan Crony Chew calon Parlimen Kota Melaka.

Manakala Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohamed Ali Mohamad disenaraikan calon Parlimen Tangga Batu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bagi calon Parlimen Hang Tuah Jaya dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan bagi calon Parlimen Jasin.

Loading...
Terkini