comscore
Tumpuan :
Politik

Tun M nafi berdendam dengan Zahid

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau menyimpan dendam berpanjangan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sejarah membuktikan beliau sentiasa bersikap terbuka terhadap musuh politik, malah turut melantik penentangnya menganggotai barisan Kabinet.

“Saya tak ada perasaan dendam terhadap Zahid. Kalau saya seorang yang berdendam, orang yang menjadi musuh kepada saya tidak akan dapat tempat (dalam kabinet).

“Ketika Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lawan dengan saya, penyokongnya Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan selepas Ku Li kalah, saya terima Pak Lah masuk semula ke dalam UMNO sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zahid yang mendakwa Dr Mahathir berdendam dengannya sejak 26 tahun lalu ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Penduduk Perumahan Awam Bagan Datuk, semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi di sini.

Mengenai sokongan pengundi terhadap GTA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Dr Mahathir berkata, sepanjang beliau berkempen pengundi memperlihatkan sokongan positif terhadap gerakan itu.

“Ke mana saya pergi dan berucap ramai orang datang dan mereka kelihatan mesra selain melaungkan ‘Hidup PEJUANG’ yang bermakna ada orang sokong kita.

“Ada tempat yang saya pergi secara mengejut dan tidak beritahu terlebih dulu, tetapi ramai orang berkumpul dan nyatakan sokongan terbuka kepada GTA,” katanya.

Loading...
Terkini