comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Tun M sah sertai PUTRA

 

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir bersama kira-kira 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada parti Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini.

Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin mengesahkan mengenai perkara itu di laman sosial Facebook nya hari ini.

Menerusi status yang dimuat naik, Armin berkata Dr Mahathir selamat mendaftar keahliannya bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama PUTRA.

“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan melayu.

“Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang-orang melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanahair,” katanya.

FOTO : Armin Baniaz Pahamin / FACEBOOK

Dalam gambar yang dimuat naik, turut dilihat menghantar borang ialah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Sebelum ini, Dr Mahathir memberi bayangan untuk menyertai PUTRA selain berhasrat menjadi penasihat parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menganggap jemputan untuk menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

Beliau juga berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk selamatkan kaum Melayu di negara ini.

Loading...
Terkini