comscore
Tumpuan :
Politik

Ugutan Rafizi : Jangan beri tekanan kepada penjawat awam – Penganalisis jenayah

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim

Oleh: Salina Zakaria

PETALING JAYA : Tindakan pemimpin politik menggunakan modal bersifat menyerang atau mengugut penjawat awam ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah tidak wajar kerana ia bersifat provokasi.

Tegas penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, ugutan sedemikian boleh dikenakan tindakan mengikut kanun keseksaan selain tindakan boleh diambil.

“Apabila sesuatu ugutan dibuat atau amaran dilakukan kepada pihak seperti agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ianya boleh menggugat keselamatan dan gangguan awam.

“Mereka yang melakukan ugutan terhadap penjawat awam pula boleh dikenakan tindakan dibawah Kanun Keseksaan, Oleh itu saya nasihati mereka (ahli politik) agar berhati-hati semasa memberi kenyataan terutama ketika berkempen kerana tindakan boleh diambil terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Katanya mana-mana calon PRU-15 yang membuat ugutan terbuka kepada penjawat awam juga dianggap sengaja memberi tekanan.

Justeru, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dinasihati agar menarik kembali ugutan dilakukan ketika berkempen terhadap badan bebas seperti SPRM.

Dalam pada itu, selaku pemerhati, Shahul berkata kenyataan berkenaan hanya mengeruhkan hubungan antara bakal pemimpin kerajaan dan pegawai kerajaan yang akan berkhidmat kepada mereka kelak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia, (PDRM) akan melaksanakan siasatan iaitu ugutan terhadap penjawat awam, jika terdapat aduan polis dibuat bagi kes Rafizi dan SPRM.

Ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, buat ketika ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis.

“Setakat yang saya dimaklumkan (laporan polis isu ugutan Rafizi terhadap Azam Baki) tidak ada lagi…,”, responnya ringkas kepada Buletin TV3.

Loading...
Terkini