comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO ada kaedah tertentu dekati ahli sokong Kerajaan Perpaduan pada PRN –  Zahid 

MACHANG: UMNO mempunyai kaedah tertentu bagi mendekati ahli mereka supaya turut menyokong Kerajaan Perpaduan termasuk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) meskipun perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu itu sukar untuk dikikis.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika sebelum ini pengundi UMNO turut menyokong calon parti lain dalam komponen BN seperti MCA dan MIC, kaedah sama akan diguna pakai pada PRN nanti bagi mendekati penyokong BN dan UMNO supaya turut menyokong parti lain dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

 

“Dalam hal ini ia bukan kerana atas nama parti sebaliknya atas rasa kebersamaan parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Justeru serahkan kepada kami untuk santuni kumpulan sasaran kami kerana persepsi yang negatif ini ketika Perdana Menteri 22 tahun yang menampakkan rasa kebencian terhadap parti tertentu.

“Bukan mudah, namun tidak mustahil untuk dilakukan,” katanya pada sidang media di Majlis Mesra Aidilfitri anjuran FELCRA Berhad di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, apabila ahli UMNO sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya soal pembahagian kerusi bagi berdepan PRN, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dimuktamadkan sebelum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi-Pengerusi BN negeri dan kita sudah menyenarai pendek perkara itu sebelum dimuktamadkan nanti,” katanya.

Loading...
Terkini