comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO akan cuba selesai masalah air Kelantan jika diberi mandat pada PRN akan datang – Zahid

Ahmad Zahid hadir ke majlis pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat negeri hari ini.

KOTA BHARU: UMNO merayu kepada pengundi Kelantan supaya memberi mandat kepada parti itu untuk tempoh lima tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, bagi menyelesaikan masalah bekalan air negeri ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah air di Kelantan adalah janji UMNO yang akan diselesaikan sekiranya diberi peluang oleh rakyat.

“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu UMNO untuk sekali ini.

“Cuba beri peluang untuk UMNO hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak okay, boleh tukar semula.

“Kita hanya perlukan masa lima tahun untuk BN membuktikan kita mampu memberi bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO sesi 2023/2026, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan Allah dalam isu air keruh, sebaliknya sebagai pemimpin perlu berusaha memberi air bersih kepada rakyat.

“Jadi berilah peluang kepada UMNO dan BN untuk kali ini. Dasar yang baik dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kita akan teruskan,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini