comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] UMNO bersedia pertimbang rayuan ahli, pemimpin yang digantung langgar disipin parti

PUTRAJAYA: Rayuan ahli dan pemimpin UMNO yang digantung atas kesalahan melanggar disiplin sedia dipertimbangkan oleh parti.

Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, rayuan itu bagaimanapun perlu diteliti Lembaga Disiplin parti, sebelum sebarang keputusan sama ada rayuan diterima atau ditolak diputuskan.

Beliau berkata, setakat ini, parti juga belum menerima sebarang rayuan daripada mereka yang digantung termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berucap ketika Majlis Perasmian Seminar “ Entrepreneurial Marketing: How To Grow Your Business Post-Pandemic “, anjuran MarkPlus Institute ASEAN hari ini. – FOTO : NSTP

“Setakat ini saya belum terima apa-apa surat rayuan daripada mana-mana pihak. Saya akan terima tapi biarkan Lembaga Disiplin untuk teliti,” katanya pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari KKDW, di sini hari ini.

Beliau ditanya pendirian UMNO Johor yang mahu Hishammuddin dan Maulizan, mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagaimanapun berkata tindakan disiplin dan penggantungan itu tidak akan menjejaskan UMNO Johor berikutan beberapa pimpinan UMNO negeri sebelum ini pernah berdepan tindakan sama.

Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Hishammuddin dan Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, pula berkata pemecatan dan penggantungan pemimpin serta ahli UMNO yang dipersetujui MKT UMNO kelmarin, adalah sah dari sisi perlembagaan parti, sungguhpun ada pihak yang secara terusan mempertikaikan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini