comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO mampu melahirkan 10 lagi KJ dan 10 lagi Shahril Hamdan yang lebih setia

Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN: Ahli Umno dinasihatkan supaya tidak terus bersedih dan kecewa dengan tindakan memecat serta menggantung beberapa pemimpin parti itu, kelmarin.

Naib Ketua Pemuda Umno Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ahli parti di semua peringkat perlu memperkuatkan iltizam serta usaha bagi melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa dan setia, sekali gus memastikan Umno lebih mantap pada masa depan.

Ketua Pemuda Umno bahagian Jasin itu berkata, pemecatan dan penggantungan ahli serta pemimpin parti adalah perkara biasa, namun yakin bahawa parti mampu melahir serta mengetengahkan ramai pemimpin pelapis untuk menganggotai pucuk kepemimpinan.

“Inilah hakikatnya, pemimpin datang dan pergi, InsyaAllah saya yakin Umno mempunyai pelapis pemimpin muda yang boleh diketengahkan.

“Kalau kita kehilangan pemimpin muda seperti KJ (Khairy Jamaluddin) dan Shahril (Sufian) Hamdan, saya percaya Umno mampu melahirkan 10 lagi KJ dan 10 Shahril Hamdan yang lebih setia pada masa akan datang.

“Dengan kekuatan dan kesetiaan yang kita ada, InsyaAllah kita mampu bangkit kembali meskipun berhadapan dengan tugas sukar selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan Merlimau Bercahaya dan Merlimau Berpeluh 5.0 di Dataran Orang Kampung, di sini malam tadi.

Kelmarin, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menggantung selama enam tahun keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat.

Muhamad Akmal berkata, sudah sampai masanya Umno memberi ruang dan peluang kepada orang muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin pelapis bagi menarik kembali sokongan pengundi muda khususnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas dakwaan bahawa Umno akan kelihatan lemah selepas memecat dan menggantung keahlian pemimpin terbabit, beliau berkata, Umno sudah mempunyai banyak pengalaman serta melalui pelbagai fasa kepemimpinan sejak ditubuhkan pada 1946.

“Kita dalam Umno melalui pelbagai fasa dan suasana termasuk ada pemimpin yang dipecat dan kembali ke kancah politik sebagai Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Inilah dinamika politik, bukan saja dalam Umno, pemecatan juga berlaku dalam parti lain apabila ada ahli yang dipecat disebabkan tidak setuju dengan Presiden mereka. Ia perkara biasa, tetapi parti mesti melakukan perkara luar biasa untuk menghasilkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa dan lebih setia kepada parti,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini