comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO perlu cari formula baharu, tidak boleh bergantung cara lama untuk tawan Sabah

Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Abdul Rahman Dahlan, mengundi pada pemilihan parti itu di Tuaran, Sabtu lalu. – FOTO: NSTP

TUARAN: Formula baharu yang lebih relevan dengan keadaan semasa perlu dicari UMNO jika ingin kembali berkuasa di Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, parti tidak boleh menggunakan kaedah lama, yang terbukti tidak berkesan menawan hati pengundi.

“Yang lama sudah lapuk dan yang tidak lagi berkesan, jangan kita ulang. Kegilaan adalah melakukan perkara sama berulang kali dengan mengharapkan keputusan berbeza.

“Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada cara lama.

“Pada masa sama, kaedah baharu ini perlu turut mengekalkan perpaduan antara semua ahli,” katanya.

Abdul Rahman berjaya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Tuaran pada pemilihan bahagian parti itu pada Sabtu lalu.

Beliau yang menerima tentangan bekas Ketua Pemuda UMNO Tuaran, Alfian Sambas, menang dengan kelebihan 16 undi.

Abdul Rahman memperoleh 423 undi berbanding Alfian, yang mendapat 407 undi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak 2018, UMNO tidak lagi seperti dahulu, sebaliknya parti itu terjejas dengan dinamik politik tanah air.

Katanya, pembentukan pelbagai parti baharu serta pengasingan antara satu dengan yang lain turut memberi kesan besar terhadap UMNO, termasuk di Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Rahman beranggapan, beliau amat bertuah kerana memiliki pasukan yang kekal setia berjuang dengan parti keramat itu di Tuaran.

Beliau tidak mahu UMNO hilang taring dalam kemelut kuasa di luar kawalan sehingga menjadikan parti itu tidak lagi relevan.

“Semua barisan kepemimpinan UMNO Tuaran, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, perlu terus teguh dan tidak goyah dengan apa juga ujian yang datang,” katanya.

Loading...
Terkini