comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO perlu terajui naratif pemikiran bagi kembalikan sokongan kuat rakyat – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO Ke-78 di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur hari ini. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mencipta sentimen dan menerajui naratif pemikiran bagi mendapatkan kembali sokongan kuat rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata parti itu perlu memahami permainan dengan emosi dan perasaan selain memanfaatkan kemajuan pelbagai paltform media sosial.

Katanya, platform media sosial penting untuk diterokai sebagai medium mendekati pengundi 18 kerana ia menjadi lokasi anak muda berkumpul.

“Di era ini, persepsi lebih dipercayai daripada realiti. UMNO mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran, mengekang fitnah dahsyat di media sosial dan tidak semata-mata dalam ‘mood defensive’ walau pun kita sebahagian kerajaan.”

“Sebab itu saya tegaskan pimpinan UMNO kena terkehadapan dalam usaha melonjakkan semula citra parti dalam upaya untuk kita mendominankan semula parti keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata usaha memanfaatkan media sosial dapat dilihat seperti yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy.

“Saya lihat YB (Yang Berhormat) Duyong cukup popular di media sosial khususnya TikTok menerusi video turun padang serta dijadikan medium bagi menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu.

Dia memiliki hampir 950 ribu pengikut dan meraih 20.4 juta ‘likes’ di Tik Tok sahaja.”

“Inilah yang saya katakan UMNO perlu berubah. Kita mesti menguasai platform media sosial. Cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa pemimpin UMNO yang berjawatan dalam parti perlu ke hadapan dalam menampilkan idea segar dan bernas serta mengorak langkah sesuai anjakan politik semasa.

“Pemimpin UMNO yang dipilih akar umbi ini perlu tampil ke hadapan, bukan sekadar memberi idea sebaliknya apa yang penting melaksanakan sesuatu yang di luar kebiasaan.”

“Ya, asas perjuanggannya tetap sama, tetapi penyampaiannya kepada rakyat kini jauh berbeza. Inilah yang saya katakan UMNO perlu berubah. Kita mesti menguasai platform media sosial. Cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat,” katanya.

Beliau berkata walau pun melalui peredaran zaman, UMNO kekal berpaksikan Islam, Melayu Bumiputera dan menjadi benteng kepada Raja Melayu untuk terus dipertahankan demi kerukunan hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Sementara kita mengimbau sejarah, ingin saya tegaskan, berdirinya saya di sini sebagai Presiden UMNO kelapan, tekad dan sumpah saya, UMNO tidak sesekali akan tenggelam dalam lipatan sejarah,” katanya.

Terdahulu, sambutan yang dibuat secara sederhana itu bermula pada jam 7 malam, dengan acara solat hajat dan berakhir dengan majlis jamuan.

Acara sama turut diadakan secara serentak di seluruh negara.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei adalah manifestasi ahli parti menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini