comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO telah lama tuntut pampasan untuk Kedah 

Foto: NSTP

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa cuba menyembunyikan fakta apabila mengatakan kononnya hanya PAS memperjuangkan tuntutan pampasan atas pengorbanan Kedah memelihara hutan untuk tadahan air, sedangkan ia telah lama dituntut UMNO.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata UMNO  membuat tuntutan pampasan itu sejak 20 tahun lalu, ketika negeri itu ditadbir bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

“Muhammad Sanusi kononnya mahu menjadi jaguh dengan menuntut pampasan pengorbanan Kedah memelihara hutan untuk tadahan air, tetapi beliau menyembunyikan fakta bahawa tuntutan itu dimulakan sejak puluhan tahun dahulu oleh Menteri Besar dari UMNO.

“Malah telah banyak rundingan dan permohonan dibuat sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) seawal pentadbiran Syed Razak pada 2003, iaitu kira-kira 20 tahun dahulu.

Malah Allahyarham juga memberi isyarat sekiranya tidak ada apa-apa yang diberikan kepada Kedah, beliau akan mempertingkatkan aktiviti pembalakan menggunakan kaedah ‘heli harvesting’.

“Sejak itu rundingan bagi perkara tersebut terus diketengahkan kesemua Menteri Besar daripada BN seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, perkara sama turut dilakukan bekas Menteri Besar daripada PAS iaitu Tan Sri Azizan Abdul Razak, namun tuntutan itu ditolak dalam rundingan bersama kerajaan Persekutuan yang ketika itu diwakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Allahyarham Ustaz Azizan juga pernah menuntut pampasan RM100 juta berkenaan isu ini. Namun menariknya, jumlah tersebut ditolak mentah-mentah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, kerana menyifatkan jumlah RM100 juta itu sebagai tidak logik.

“Isunya, dalam tuntutan ini ialah bukan Kedah sahaja semata-mata yang perlu menjaga hutan bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan atau bagi tujuan penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Sebaliknya, negeri lain seperti Pahang dan Perak juga perlu menjaga kawasan hutan masing-masing bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan dan konservasi taman negara,” katanya.

Shaiful Hazizy menegaskan Muhammad Sanusi bukan Menteri Besar Kedah pertama  memperkatakan tentang isu pampasan tetapi pendekatan yang digunakan beliau dilihat hanya mahu mengeruhkan hubungan antara negeri.

“Lebih buruk lagi, pendekatan yang digunakan beliau mencetuskan kritikan berbaur politik, menimbulkan sentimen kebencian, malah tindakan seolah-olah enggan mengiktiraf Pulau Pinang turut dibidas rakan sekutu iaitu BERSATU dan GERAKAN.

“Kaedah Sanusi memilih jalan berkonflik dengan Kerajaan Pusat dan Pulau Pinang adalah strategi sumbang dan hanya akan merugikan Kedah. Jelas ketika ini sentimen kenegerian dan kebencian masih lagi menjadi sandaran Menteri Besar yang bankrap idea politik,” katanya.

Loading...
Terkini