comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO wadah penting sejarah Malaysia sejak penubuhannya – Ahmad Zahid

Foto: Zahid Hamidi / Facebook

KUALA LUMPUR: UMNO telah melalui pelbagai zaman dan kepemimpinan, mendepani segala rintangan dan ujian di persada politik negara selama hampir lapan dekad.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia sejak awal penubuhan 78 tahun lalu sehingga hari ini.

“Jasa dan perjuangan pemimpin dan ahli UMNO terdahulu membawa kepada kehidupan lebih baik buat ahli atau rakyat secara keseluruhannya.

“Setelah hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, 11 Mei menjadi manifestasi keberadaan UMNO dan menjadi tarikh ulung untuk bermuhasabah dan memperbaiki landasan perjuangan, demi agama, bangsa dan negara.

“Marilah kita berdoa semoga tahun-tahun mendatang kita akan menyambut lagi hari ulang tahun UMNO. Marilah kita berdoa agar UMNO kembali menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus membawa harapan rakyat.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, petunjuk dan panduan kepada kami semua dalam melayari ujian dalam perjuangan politik di dunia ini. Insya-Allah dengan kesabaran, kita akan menuai kejayaan di penghujungnya dan mendapat ganjaran syurga Allah yang kekal abadi.

“Saya berharap kita semua sentiasa teguhkan tekad meneruskan legasi perjuangan parti yang kita pertahankan dulu, kini dan selamanya demi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke-78,” katanya.

Ahmad Zahid dijadual menyampaikan Amanat Presiden sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 selepas Maghrib hari ini.

Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 akan berlangsung hari ini dan akan diraikan serentak di seluruh negara.

Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini