comscore
Tumpuan :
Politik

UPKO mahu tanding lebih banyak kerusi PRN Sabah Ke-17

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick. – FOTO: Ihsan UPKO

SIPITANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang ketika ini hanya mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mahu bertanding dan memenangi beberapa lagi kerusi lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, hasrat itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, selain mahu mempertahankan kerusi DUN Kadamaian yang dimenanginya ketika PRN Ke-16 (PRN-16) pada September 2020, beliau juga mahu UPKO bertanding di beberapa kerusi lain.

“UPKO mesti bertanding bukan hanya di kawasan Kadamaian yang kita pegang sekarang tetapi beberapa lagi kerusi lain.

“Ini penting supaya UPKO sebagai satu parti yang mahu menyumbang dengan lebih baik kepada tadbir urus negara diberi ruang yang besar di peringkat Persekutuan dan negeri bermula dengan kerusi yang lebih banyak pada PRN akan datang,” katanya ditemui selepas merasmikan Konvensyen UPKO di Pusat Kebudayaan Lundayeh, di sini, semalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi yang ingin ditandingi parti itu pada PRN Ke-17 (PRN-17) nanti.

Namun, katanya UPKO sudah mengenal pasti kerusi yang ingin ditandangi itu dan yakin dapat menyumbang kemenangan di kerusi berkenaan, terutama di kawasan majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM) dan kerusi campuran.

Pada PRN-16, UPKO bertanding 12 kerusi, kebanyakannya di kawasan majoriti KDM menerusi kerjasama Parti Warisan (WARISAN) Plus yang turut disertai Pakatan Harapan (PH) Sabah yang ketika itu hanya dianggotai PKR, DAP dan AMANAH.

Berikutan kekalahan WARISAN Plus pada pilihan raya itu, UPKO kemudian menyertai PH sebelum berlaku pertukaran kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada akhir 2022 yang turut menyaksikan pembentukan kerjasama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan PH bermula awal tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perubahan landskap politik Sabah ketika ini turut mengubah perbincangan mengenai pengagihan kerusi pada PRN akan datang.

“Bagi saya dan UPKO, perbincangan haruslah sesuatu yang segar dan baharu apabila kita membincangkan soal kerjasama untuk PRN Sabah akan datang,” katanya.

Ewon berkata pada PRN-17 nanti, tiada lagi gabungan kerjasama seperti yang berlaku pada PRN-16.

Tempoh DUN Sabah sekarang dijadual tamat pada Oktober tahun depan, namun terdapat spekulasi PRN-17 mungkin diadakan lebih awal pada tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini