comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Pasca PRU-15: Tiada pergerakan masuk pemimpin politik di Istana Negara setakat ini

Oleh Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Perkarangan pintu 2 Istana Negara hari ini menjadi tumpuan selepas ketua parti politik dan gabungan parti politik diminta mengemukakan nama seorang Ahli Parlimen yang mendapat majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke 10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini.

Sehingga jam 10 pagi ini, masih tiada sebarang pergerakan masuk membabitkan kenderaan mana-mana pemimpin politik dilihat.

Media tempatan dan antarabangsa bagaimanapun telah berkumpul di sini sejak jam 8 pagi bagi membawa perkembangan terkini.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, pihak Istana telah meminta Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon semua ketua parti politik atau gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan mengenai gabungan yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu.

Ia selaras dengan Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, bahawa titah perkenan dan keputusan Sultan Abdullah berhubung pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang dijelaskan adalah muktamad.

Istana Negara semalam menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dokumen yang dikemukakan pada jam 1.15 tengahari oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini