comscore
Tumpuan :
Politik

Walau kini bersama Kerajaan Perpaduan, prinsip perjuangan UMNO tetap tidak berubah – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan Umno Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat, Krubong semalam.

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah apologetik dalam soal perjuangan khususnya berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, meskipun UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh DAP, namun beliau menegaskan prinsip perjuangan UMNO tidak pernah berubah.

“Jangan rasa bersalah, jangan apologetik bercakap soal Islam. UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangannya malah akan terus membela agama.

“Walaupun hari ini UMNO berada bersama Kerajaan Perpaduan namun prinsipnya tidak luntur sama sekali seperti mana dakwaan sesetengah pihak dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.

“Dalam hal ini UMNO tidak akan mungkin menggadaikan perjuangan Islam dan Melayunya. Sebab itu UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas asas untuk jaga prinsip-prinsip perjuangan kita,” tegasnya.

Beliau dilaporkan oleh portal UMNO Online ketika berucap pada merasmikan Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu secara berkelompok di Melaka, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bersama barisan kepimpinan parti dan ketua-ketua Cawangan serta ahli-ahli UMNO setempat.

Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO tidak pernah mengikut mana-mana telunjuk pihak lain.

“UMNO terus konsisten dalam perjuangan biarpun ketika menjadi pembangkang sehinggakan menganjurkan perhimpunan tolak ICERD apabila Perlembagaan dicabar.

“Matlamat perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan institusi Raja-raja Melayu. Kalau melibatkan Islam, Melayu/Bumiputera kita tidak akan sewenang-wenangnya mengalah.”

Beliau juga menjelaskan bahawa UMNO bukan parti sembarangan, iaitu bukan parti jalanan atau lahir atas rasa kekecewaan.

“UMNO adalah parti yang lahir daripada perjuangan bagi membina negara bangsa dan menyatukan seluruh orang Melayu di tanah air, sedangkan banyak parti-parti politik yang lahir kemudiannya adalah serpihan daripada UMNO iaitu asalnya adalah hasil daripada perjuangan UMNO namun akibat rasa tak puas hati, ada rasa kecewa dan sebagainya keluar meninggalkan parti.”

Sehubungan itu beliau mengajak anggota parti untuk terus dalam tekad mengembalikan kekuatan UMNO.

Ujarnya, biarpun ada pihak yang memfitnah dan mengejek UMNO namun kepimpinan UMNO tidak pernah bertindak sedemikian.

“Pemimpin tidak pernah ajar kita memperlekeh pihak lain. Kita ikhlas berjuang atas nama agama maka jangan sesekali meremehkan perjuangan kita dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

“Perjuangan kita belum selesai dan tidak akan pernah selesai demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini