comscore
Tumpuan :
Politik

Wan Azizah, Nurul Izzah ada rekod cemerlang

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa PKR parti ‘anak beranak’ sama sekali tidak berasas dan ia dibuktikan menerusi rekod baik barisan kepimpinan mereka.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata pemilihan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini termasuk dalam kalangan ahli keluarga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selari dengan prestasi ditunjukkan sepanjang berkhidmat untuk parti dan rakyat.

“Ia berbeza jika mereka tidak ada ‘track record,’ tetapi realitinya pimpinan seperti Wan Azizah yang banyak berkorban sejak awal permulaan parti dan kebolehan serta keupayaan beliau sebagai pemimpin tidak boleh disangkal apabila beliau dinobatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Mohamed Azmin setakat ini tak pernah jadi TPM. Jadi saya ucapkan yang terbaik untuk beliau semoga dapat apa diinginkan, semoga rakyat Gombak beri isyarat paling jelas kepadanya dan suku sakat mereka bahawa perangai yang kita saksikan pada Langkah Sheraton akan jadi liang lahad (kepada beliau),” katanya selepas merasmikan Hari Psoriasis Sedunia 2022 di NU Sentral hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) bahagian Gombak malam tadi yang mempersoalkan mengapa Anwar tidak bertanding di kawasan ditandinginya atau menghantar Wan Azizah atau Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga calon PH Lembah Pantai berkata, walaupun dikecam sebagai ‘parti keluarga’, sekurang-kurangnya pimpinan dalam PKR mempraktikkan gaya hidup wasatiah dan tidak terbabit rasuah serta pelbagai siri pengkhianatan.

“Alhamdulillah ‘family’ (PH/PKR) tak rasuah, tak porak perandakan negara dengan siri pengkhianatan, keluarga kami juga berakhlak mulia, hidup sederhana.

“Tak ada ahli keluarga pimpinan utama PH dan PKR khususnya yang ke sana sini naik jet mewah, bermewah tonton konsert di Los Angeles dan Las Vegas,” katanya.

Mengulas persiapan jentera PH di kawasan Lembah Pantai, Fahmi menyuarakan kebimbangan susulan kali pertama dua pusat mengundi bagi Parlimen itu dibuat di kawasan terbuka iaitu di padang Kampung Pasir Baru dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Beliau berkata, selain bimbang risiko kemungkinan berlaku banjir pada tarikh pengundian nanti, beliau turut menyuarakan kegusaran berhubung aspek keselamatan.

“Perkara ini saya bangkitkan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ahad lalu, tetapi setakat ini belum ada maklum balas. Saya sampaikan bahawa sedia bekerjasama untuk menjamin undi tetap rahsia dengan pusat mengundi selamat termasuk menjamin prosesnya berjalan secara telus.

“Jika apa apa berlaku pada hari mengundi (termasuk risiko banjir), apakah ada tempat alternatif untuk rakyat mengundi,” katanya yang memberitahu padang bola di Kampung Pasir Baru pernah dinaiki air akibat banjir pada Disember 2021 dan Mac lalu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini