comscore
Tumpuan :
Politik

Wan Rosdy ketuai jentera BN di Pelangai – Zahid

BENTONG : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ketika mengumumkan perkara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera kempen bekerja keras dan menggunakan langkah luar biasa untuk menarik sokongan pengundi.

“Walaupun atas kertas, kita ada majoriti lebih 4,000 undi melalui Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan 2,000 lebih daripada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas, namun kita tidak boleh ambil mudah dan terlebih yakin.

“Lawan dah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan ceramah tidak besar (berkelompok), jadi kita kena guna langkah luar biasa, sesuai dengan kehendak dan cita rasa pengundi DUN ini dan kita perlu mendekati semua pengundi secara bersemuka,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau mengiringi calon parti itu bagi PRK Pelangai Datuk Amizar Abu Adam ke pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, hari ini.

Pada PRU-15, Allahyarham Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (3,260), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (2,031) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65).

Dalam pada itu, Zahid mengucapkan terima kasih atas sokongan rakan-rakan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan kepada calon BN di Pelangai .

Beliau turut menzahirkan keyakinan kepada Amizar untuk meneruskan legasi BN di DUN Pelangai.

“Calon kita terkenal dalam kalangan orang Pelangai, beliau pun anak Felda (Felda Chemomoi) dan saya yakin beliau akan meneruskan khidmat Johari di sini,” katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala pengundian awal pada 3 Oktober.

Loading...
Terkini