comscore
Tumpuan :
Politik

Wanita PN Melaka kecewa calon dipilih BERSATU tidak berwibawa

Azalina Abdul Rahman.

MELAKA: Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka kecewa dengan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang didakwa memilih calon tidak berwibawa dan berkemampuan dalam pengumuman malam tadi.

Ketuanya, Azalina Abdul Rahman berkata, kebanyakkan calon yang diumumkan bukan sahaja tidak dikenali ramai.

Malah ada juga yang tidak pernah turun padang mahupun menjalankan aktiviti kemasyarakatan sama ada melalui parti, badan bukan kerajaan (NGO) atau persendirian.

“Banyak calon dipilih bukan berdasarkan kewibawaan dan kemampuan menyumbang kerusi tetapi atas dasar orang siapa.

“Ini menimbulkan kerisauan kepada kami tentang kemampuan parti untuk menjadi pesaing kepada parti lawan sekaligus menjejaskan potensi parti untuk maju,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana BERSATU mempunyai banyak pemimpin pelapis.

Namun malangnya nama tersebut tidak dipilih sebagai calon.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU Melaka berkata, dalam pemilihan calon untuk pilihan raya, parti seharusnya mengambil kira pandangan rakyat terhadap calon yang bakal dipilih.

“Ini kerana ia menjadi cerminan kepada imej dan persepsi kepada parti, jadi sudah tentu dalam proses membuat keputusan yang penting ini, ia memerlukan kebijaksanaan orang parti,” katanya.

Dakwa beliau, pencalonan BERSATU malam tadi ibarat satu retorik apabila mengenepikan calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 PRU-15.

“Hanya 8.4 peratus bakal calon yang diumumkan malam tadi adalah wanita dan angka ini jauh daripada kehendak umum yang meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam apa juga organisasi termasuk organisasi sahsiah yang berpengaruh seperti BERSATU,” katanya.

Loading...
Terkini