comscore
Tumpuan :
Politik

Warisan tidak ambil bahagian di Parlimen Padang Serai

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Parti Warisan memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Setiausaha Agung parti Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata bagaimanapun logo parti Warisan masih akan tersenarai dalam kertas undi oleh kerana sudah didaftarkan sebagai salah satu parti yang bertanding di Parlimen berkenaan pada 5 November lalu.

“Parti Warisan mengambil maklum pengumuman tersebut dan telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun dimaklumkan mengenai keputusan parti Warisan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang ditangguhkan sebelum ini, menyaksikan persaingan enam penjuru.

Enam calon terbabit ialah Datuk Azman Nasrudin dari Perikatan Nasional (PN); Datuk Sivarraajh Chandran dari Barisan Nasional (BN); Hamzah Abdul Rahman (PEJUANG); Dr Mohamed Sofee Razak dari Pakatan Harapan (PH); calon Bebas, Sreanandha Rao manakala Mohd Bakri Hashim mewakili WARISAN tidak hadir pada sesi penamaan calon pagi tadi.

Pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon yang telah disahkan bertanding sebelum ini iaitu M Karupaiya daripada PH pada 16 November lalu dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

SPR menetapkan hari pengundian pada 7 Disember depan dan pengundian awal 3 Disember, dengan tempoh berkempen selama 13 hari hingga jam 11.59 malam 6 Disember bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding.

Loading...
Terkini