comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Wartawan dibaling botol arak ketika liputan kempen

SEREMBAN: Seorang wartawan dihalau dan dikejar menggunakan botol arak ketika membuat liputan kempen calon BN Parlimen Rasah di sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, malam tadi.

Malah petugas media itu turut diugut supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang bertugas di sebuah portal dikejar lebih satu kilometer dalam masa 30 minit oleh seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai penyokong parti DAP.

Calon BN Parlimen Rasah, Ng Kian Nam yang berada di lokasi kejadian berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa sukarelawan dan pembantunya bersama tiga petugas media masuk ke restoran terbabit dan mengedarkan risalah dari meja ke meja.

“Sambutan daripada pelanggan lain tiada masalah dan mereka memberikan kerjasama. Sebaik tiba di salah satu meja, sekumpulan lelaki menunjukkan rasa tidak puas hati dan menyuruh kami beredar.”Bagaimanapun, wartawan yang sedang bertugas yang mengambil gambar dimarahi seorang lelaki sebelum menolaknya manakala seorang lagi membaling botol arak ke arah wartawan,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini, tengah malam tadi.

Kian Nam berkata, lelaki berkenaan turut membaling gelas dan kasut, namun wartawan terbabit bernasib baik kerana ia tidak mengenai badannya.

“Lelaki itu mengejar seorang wartawan sehingga ke jalan besar sambil memegang botol arak. Petugas media ada memaklumkan kepada lelaki bahawa mereka bertugas sebagai wartawan, namun tidak diendahkan.”Malah, lelaki terbabit mengugut supaya tidak melaporkan kejadian ini kepada polis. Kejadian berlaku lebih 30 minit,” katanya yang menemani mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2, di sini.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wartawan sepatutnya tidak berlaku, malah calon daripada mana-mana parti juga bebas untuk menjalankan kempen selagi ia mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden berkenaan.

Loading...
Terkini