comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Yang gelap itu politik KJ’ 

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membidas kritikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan UMNO sebagai ‘tempat paling gelap’ dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya buat masa sekarang.

Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa, Khairy mengambil kesempatan dan menumpang bekas partinya untuk mencipta populariti sendiri melalui kritikan berterusan.

Beliau juga mendakwa, karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah malap, malah tidak kelihatan peluang untuknya menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) mahu pun Perikatan Nasional (PN).

Biarpun ada pelawaan untuk Khairy menyertai gabungan politik selain Barisan Nasional (BN), Mohd Razlan mendakwa, ia didakwa ditentang pemimpin utama lain yang bimbang bekas Menteri Kesihatan itu akan menjadi liabiliti.

Beliau memberi contoh, jika menyertai PN, Khairy akan menjadi cabaran kepada pemimpin dalam gabungan berkenaan, malah ada dakwaan pemimpin tertentu dan kumpulannya bergaduh dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mempelawa Khairy.

Datuk Mohd Razlan Rafii , Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO

“Mereka bimbang Khairy akhirnya akan jadi liabiliti kepada PN. Ada juga kata PH pun mahu Khairy, tetapi PH tahu Khairy akan mencetuskan ‘peperangan’ di antara pemimpin sedia ada dalam gabungan itu, sama ada PKR atau parti komponen lain.

“Jadi kegelapan dimaksudkan Khairy itu sebenarnya ‘kegelapan politik Khairy Jamaluddin’ yang sudah tidak tahu mahu ke (parti) mana.

Mahu ke PN, ramai tak setuju, mahu ke PH, ibarat ‘meludah ke langit’, jatuh terkena pipi sendiri,” katanya hari ini.

Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh, berkata Khairy adalah pemain politik solo dan sedang berusaha untuk menubuhkan parti sendiri.

“Apa Khairy buat ketika ini adalah untuk mencipta populariti sendiri. Saya percaya, beliau sebenarnya mengorak langkah untuk menubuhkan parti sendiri. Sebab itu, setiap hari dia menempelak UMNO untuk mencari populariti dengan harapan dapat sokongan orang UMNO.

“Khairy juga pemimpin politik yang dikategorikan sebagai pemain solo, suka bergerak secara sendiri dan bukan berpasukan. Kesatuan mana-mana parti politik itu sangat penting, sebab itu sekarang dia sedang berusaha mencorakkan partinya sendiri,” katanya.

Justeru, beliau menjelaskan Khairy sebenarnya sudah menjadi liabiliti bukan sahaja kepada UMNO sebelum ini, tapi semua parti.

“Sekiranya UMNO gelap, tiadalah orang seperti Khairy yang tiap-tiap hari cerita tentang UMNO. Dalam konteks mahu mencari populariti, dia carilah parti yang lebih kuat untuk menumpang populariti.

“Jadi, bagi saya kegelapan yang dimaksudkan itu adalah untuk diri dia. Dia tidak ada masa depan lagi untuk berpolitik sebab pemimpin banyak parti faham Khairy bukan aset, tapi liabiliti,” katanya.

Loading...
Terkini