Tumpuan :
Politik

‘YB Ahmad’ tidak sabar mahu tabur bakti buat masyarakat Lembah Jaya

Bagi Altimet, bila sudah dilantik beliau perlu ubah persepsi dengan buktikan yang dia boleh buat kerja. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Siapa sangka kerjaya penyanyi rap, Altimet berubah secara total apabila kini menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Meletakkan titik noktah kepada perjalanan hidup sebagai penyanyi rap yang dilalui selama 24 tahun, Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 45, yang kini selesa dipanggil YB Ahmad, tidak sabar menaburkan bakti buat penduduk Lembah Jaya, Ampang.

Sebaik memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, calon Pakatan Harapan (PH) itu sudah keluar bertemu rakyat dengan menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Taman Kosas, Ampang pada hari pertama memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, semalam.

“Alhamdulillah, saya terharu dan teruja mahu menabur bakti buat masyarakat.

“Sebelum dipilih, saya tahu ada yang mempertikaikan dan memberikan pelbagai persepsi hanya disebabkan status sebagai penyanyi rap sebelum ini.

“Namun, saya enggan ambil peduli apapun persepsi orang terhadap saya, keputusan menyertai gelanggang politik sudah dibuat.

“Jadi, saya ambil keputusan abaikan kata-kata negatif dan jalan terus sahaja,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Kalau Aku Kaya dan Amboi itu berkata, dia yakin mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya melihat portfolionya dalam bidang seni selama ini.

Katanya, dia tidak bimbang sekiranya ada yang berasakan dirinya tidak layak memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat hanya kerana profesion sebagai penyanyi.

“Apapun profesion seseorang, sama ada bergelar doktor, peguam mahupun jurutera pasti ada sahaja yang akan mempersoalkan dan merasakan tidak layak menceburi bidang politik.

“Bagi saya, bila sudah dilantik, kita kenalah ubah persepsi dengan buktikan yang kita boleh buat kerja.

“Lagipun, pengalaman sebagai penyanyi sehingga memiliki 10 album dalam masa lima tahun, rasanya masyarakat boleh menilai tahap serius saya dalam bidang diceburi,” katanya.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ir Ts Zafrul Fazry Mohd Fauzi (kiri) mengumumkan Altimet memenangi DUN N20 Lembah Jaya ketika pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri Selangor di Dewan MPAJ, Kampung Ampang Indah. – FOTO: NSTP

Ditanya titik tolak menceburi bidang politik, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, ia berpunca daripada kebimbangan terhadap ekonomi negara yang lebih terikat dengan hala tuju politik.

“Sebagai usahawan, saya peka dan bimbang memikirkan ekonomi negara yang terikat dengan hala tuju politik.

“Pada masa sama, saya juga risaukan hala tuju anak muda yang bakal menjadi generasi baharu.

“Atas kebimbangan itulah saya memikirkan apa yang terbaik harus dilakukan demi masa depan generasi muda,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Sehubungan itu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, dia sudah bersedia menjalankan amanah dan kepercayaan yang diberikan masyarakat.

Altimet berkata, dia belum mengangkat sumpah untuk meneruskan tugas secara rasmi, jadi buat masa ini, langkah pertamanya mengumpul maklumat bagi sesi memanaskan badan.

Akuinya, dia tidak gusar berdepan dengan masyarakat memandangkan sudah biasa bertemu orang ramai ketika bergelar penyanyi.

“Semua bidang ada persamaan, saya akan cuba jalankan kepimpinan yang proaktif. Bezanya, dahulu saya tiada majikan.

“Sekarang, saya berkhidmat untuk negara, jadi perlu banyak berdepan dengan masyarakat kerana mereka memilih saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Mengulas adakah bercita-cita mahu ke Parlimen, Altimet berkata, harapan itu masih terlalu jauh dan ingin memberi fokus pada masyarakat di Lembah Jaya terlebih dahulu.

Terdahulu, Altimet menawan kerusi DUN Lembah Jaya dengan memperoleh undian 26,298 undi menewaskan lawannya, calon PN, Sharifah Haslizah Syed Ariffin hanya memperoleh undi 19,620.

Altimet menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Datuk Dira Abu Zahar.

Loading...
Terkini