comscore
Tumpuan :
Politik

‘Zahid paling layak jadi TPM’

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Barisan Nasional (BN) bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki dan keputusan parti.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan hierarki parti, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

“Kita serah kepada parti, jika ikut hierarki parti, Presiden akan jadi TPM. Semua pihak harus tenang dan kembali kepada hierarki dan keputusan parti,” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disebut-sebut sebagai pemimpin paling sesuai diangkat menjadi TPM dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara yang menyebut Mohamad yang juga dikenali sebagai ‘Tok Mat’ paling sesuai menjawat kedudukan itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut berpandangan sama ialah EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Moktarrudin yang menyifatkan Ahli Parlimen Rembau itu layak atas kredibilitinya, apatah lagi pemimpin berkenaan diterima baik rakyat dan parti.

Pada masa sama, Mohd Razlan berkata, pihaknya yakin Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan berbincang dan merujuk kepada pimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi tujuan berkenaan.

Ketika ditanya jika pemilihan Ahmad Zahid sebagai TPM akan mencipta polemik susulan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai kes di mahkamah, beliau berkata, semua pihak harus adil dalam penilaian membabitkan perkara berkenaan.

“Jika nak kata Presiden ada kes mahkamah, berbalik kepada apa yang dikatakan Perdana Menteri bahawa ia tidak diambil kira jika belum disabitkan kesalahan.

“Maksudnya, PH akan berbincang dengan parti komponen. Perdana Menteri pastinya tahu ada beberapa pemimpin yang ‘diciptakan’ kesnya untuk pembunuhan karakter,” katanya.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk Khamis lalu menyaksikan gabungan antara PH, BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini