comscore
Tumpuan :
Prihatin

JKM Cari Ibu Kandung Tiga Beradik

Tiga beradik yang didakwa ditinggalkan ibu kandung mereka. – FOTO: Ihsan JKM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita meninggalkan tiga anaknya di rumah pengasuh di pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri di sini, Mac lalu dan berjanji akan menjemput mereka semula selepas urusan kerja selesai.

Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan, wanita dikenali sebagai Aishah Irene, 38, masih belum mengambil anaknya yang berusia lima, empat dan setahun, malah hingga kini gagal dikesan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, semua kanak-kanak itu dirujuk kepada pihaknya oleh pengasuh yang tinggal di pangsapuri berkenaan.

“Menurut pengasuh, ibu kandung kanak-kanak itu didakwa pernah bekerja sebagai jururawat di hospital swasta.

“Dia meninggalkan anaknya kepada pengasuh itu sejak Mac lalu dan berjanji untuk mengambil mereka selepas urusan pekerjaan selesai, tetapi gagal dihubungi.

“Tiga beradik itu ditinggalkan tanpa dokumen pengenalan diri dan menyukarkan pengasuh untuk mengurus mereka terutama berkaitan kesihatan,” kata JKM Kuala Lumpur.

Kenyataan itu menyebut pengasuh kemudian membuat laporan polis untuk tindakan serahan kepada JKM bagi perlindungan.

Sehubungan itu, ibu kandung tiga beradik berkenaan atau waris untuk tampil ke pejabat JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue di Jalan Pahang.

Mana-mana pihak yang mengenali waris kanak-kanak itu juga boleh menghubungi pegawai pelindung kes, Shukor Salleh Laslile di talian 03-26124000 atau e-mel [email protected]. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini