comscore
Tumpuan :
Prihatin

Kanak-Kanak Perlukan RM250,000 Untuk Rawatan Barah Tulang

Foto: Harian Metro

IPOH: Keceriaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pudar selepas disahkan menghidap barah tulang atau ‘osteosarkoma’ yang semakin kritikal sejak empat bulan lalu.

Winnie Wong Yan Yee, kini bertarung dengan penyakit itu malah keadaannya juga semakin lemah selain pergerakan terbatas.

Ibunya, Lew Sook Kuan, 32, merayu bantuan perubatan RM250,000 bagi menampung kos lanjutan kimoterapi selepas pembedahan yang akan dijalankan terhadap anaknya itu.

Menurutnya, penyakit itu dikesan selepas anak keempat daripada lima beradik itu mula mengadu sakit kaki sebelum di bawa ke Klinik Kesihatan Menglembu untuk pemeriksaan.

“Selepas itu, kami bawanya menjalani rawatan di sebuah klinik ortopedik di Ipoh sebelum dirawat di Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH). Selepas itu, anak dikesan mempunyai ketumbuhan pada bahagian bawah lutut kanan.

“Selepas beberapa cadangan, kami akhirnya memilih Subang Jaya Medical Centre untuk meneruskan rawatan bagi pembedahan membuang sel ketumbuhan itu,” katanya ditemui pada kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Menglembu Steven Chaw Kam Foon di rumahnya di Taman Kledang di sini, hari ini.

Sook Kuan berkata, anaknya sebelum ini sudah menjalani dua sesi kimoterapi sebelum bakal menjalani pembedahan.

“Kos bagi rawatan kimoterapi dan pembedahan yang akan dilakukan sudah ditanggung insuran. Namun, rawatan lanjutan empat lagi sesi kimoterapi selepas pembedahan berjumlah lebih RM200,000 itu tidak mampu kami tanggung.

“Jadi, kami harap orang ramai dapat memberi sumbangan agar anak kami yang semakin kritikal dapat menjalani rawatan dengan segera dan hidup seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Katanya, dia hanya suri rumah manakala suaminya pula bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Kam Foon berkata, pihaknya sudah berhubung sendiri dengan pengurusan Subang Jaya Medical Centre selain pusat khidmatnya membuka tabung bagi mengumpulkan dana untuk membiayai kos perubatan yang diperlukan Winnie.

Katanya, orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh terus berhubung dengan pusat khidmat di talian 05-2810608.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini