comscore
Tumpuan :
Prihatin

Sebiji telur dikongsi lima beranak

Aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman (kiri) hadir menyerahkan wang zakat dan sumbangan makanan kepada ibu tunggal, Siti Aminah Mat Zin, 41, di rumahnya di Taman Warisan Jaya, Kampung Laut. Foto; SITI ROHANA IDRIS

TUMPAT: Lima beranak asnaf dari Taman Warisan Jaya, Kampung Laut di sini, sudah lali menjamu nasi berlaukkan sebiji telur dikongsi sekeluarga malah adakalanya tanpa sebarang lauk berikutan kesempitan hidup.

Kehidupan itu dilalui Siti Aminah Mat Zin, 41, sejak sekian lama malah keadaan semakin meruncing selepas kematian suami dua tahun lalu akibat penyakit buah pinggang dan serangan jantung.

Siti Aminah yang menetap bersama empat daripada enam anaknya berkata, kehidupan mereka hanya bergantung kepada belas ihsan jiran tetangga serta sanak saudara.

“Ada juga berniat untuk bekerja tapi kami tiada pengangkutan sebaliknya hanya ada sebuah basikal sahaja dan anak bongsu juga tiada yang menjaga.

“Kerap juga berlapar dan jika ada sedikit duit, saya akan beli telur beberapa biji yang akan dimakan secara bercatu malah jika melihat anak kelaparan, saya akan dahulukan mereka manakala saya rela berlapar.

“Kerap juga jiran bungkuskan lauk dan jika tiada beras di dapur, cekodok kosong menjadi menu kami mengalas perut untuk seharian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Tidak cukup dengan kemiskinan, Siti Aminah juga diuji dengan tiga daripada enam anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam iaitu Siti Nazirah Anuar, 20, Mohd Haikal Amirul Mansor, 15 dan Mohd Amirul Aiman, 13.

Seorang lagi anaknya, Nor Maisarah Amelia Mansor, 8, dikesan menghidap skoliosis iaitu keadaan tulang belakang bengkok akibat insiden jatuh daripada buaian ketika bayi dan tidak menerima apa-apa rawatan berikutan kekangan kewangan.

Ibu tunggal itu berkata, Mohd Haikal dan Mohd Amirul adalah pelajar pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dan tidak dibekalkan wang saku kerana tidak mampu.

“Bagaimanapun mereka berdua tidak kelaparan di sekolah kerana ada guru yang baik hati memberikan RM4 setiap hari kepada kedua-duanya untuk membeli makanan malah mereka juga menerima Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) masing-masing sebanyak RM900 setahun.

“Cuma Maisarah sahaja yang tidak bersekolah kerana selain tidak mampu, tiada kemudahan pengangkutan untuk saya menghantarnya kerana motosikal sudah lama tersadai di bengkel dan basikal pula digunakan dua anak ke sekolah,” katanya yang menetap di rumah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Siti Aminah berkata dia sudah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini tetapi dimaklumkan oleh pemimpin setempat, ia tidak diluluskan tanpa memberitahu sebarang alasan.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Aminah di talian 014-5052645 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor 0301841000164237.

Loading...
Terkini