comscore
Tumpuan :
Santai

Berlatih Taranum Sambil Memandu

Sofizah Mousin ketika menerima kurniaan hadiah Johan Kategori Qariah daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR: Kerap berlatih tanpa jemu terutama ketika memandu antara resipi kejayaan qariah Malaysia, Sofizah Mousin, 33, sehingga bergelar johan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62, yang melabuhkan tirainya, Isnin lalu.

Ibu dua anak berusia empat tahun dan setahun lima bulan itu berkata, dia memanfaatkan masa terluang dengan berlatih bagi memperbaiki mutu bacaannya.

“Biasanya saya akan berlatih pada waktu lapang terutama selepas habis waktu mengajar dan memang sejak dulu lagi sambil memandu kereta ke sekolah atau pulang ke rumah, saya akan bertaranum.

“Selain berkat bimbingan guru saya, antara rahsia terbesar kejayaan saya adalah sokongan keluarga dan suami terutama mak saya yang tidak putus-putus mendoakan serta menunaikan solat tahajud dan solat hajat untuk saya hampir setiap hari,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang mengajar subjek Geografi di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor, mengakui gementar berdepan saingan hebat dari seluruh dunia, selain menghadapi cabaran ketika membuat persediaan apabila diuji dengan kecederaan pada peti suaranya.

“Persediaan agak mencabar juga kerana peti suara cedera sejak Julai lalu akibat jangkitan hingga menyukarkan persiapan saya, dan terpaksa mengehadkan masa latihan daripada dua jam kepada hanya 30 minit atau sejam untuk satu sesi latihan.

“Doktor menasihatkan saya berehat, namun saya masih meneruskan latihan kerana menganggap al-Quran itu syifa.

“Adakalanya saya mendengar semula rakaman sebelum ini dan hanya mengikut secara perlahan tanpa mengeluarkan suara berlebihan.

“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan apabila saya sembuh sepenuhnya sebelum hari penganjuran MTHQA sehingga saya tidak sangka dapat mengalahkan pesaing hebat lain,” katanya.

Berkongsi lanjut, katanya, minat mendalami al-Quran berputik ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam, Sabah pada usianya 13 tahun.

“Saya mula mengenali asas taranum ketika mengikuti kelas kemahiran al-Quran di sekolah itu hingga timbul minat belajar dan ingin mendalaminya.

“Saya betul-betul serius berguru ketika umur saya 19 tahun dan sejak itu saya belajar dan terus mendalami ilmu taranum sampai hari ini.

“Saya pernah mewakili Sabah pada 2013 dan 2014 dan pada 2020 rezeki berpihak kepada saya selepas muncul johan peringkat negeri Selangor, sebelum saya mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan tahun ini.

“Seterusnya, buat pertama kalinya saya berpeluang ke peringkat antarabangsa mewakili Malaysia dan tidak sangka bergelar johan malam kelmarin.

“Alhamdulillah saya anggap kejayaan ini satu rezeki dan motivasi untuk terus bertalaqqi kerana saya bercita-cita suatu hari nanti mahu membuka pusat pengajian al-Quran bagi berkongsi ilmu yang saya pelajari ini dengan orang lain,” katanya.

Penganjuran MTHQA ke-62 yang berlangsung enam hari bermula 19 Oktober lalu menyaksikan persaingan sengit antara 36 peserta dari 28 negara.

Sofizah yang mengalunkan ayat 83 dalam Surah Yunus berjaya meraih markah 89.66 peratus dengan menewaskan Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura sebagai naib johan (87.50 peratus), serta qariah Indonesia Yuni Wulandari Hasim (87.49 peratus) di tempat ketiga.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini