comscore
Tumpuan :
Santai

“Jalan TAR Semakin Rancak”

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Sejak diperkenalkan konsep ‘mesra pejalan kaki’ di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap Ahad, lokasi tersebut tidak lekang dek orang ramai.

Tinjauan Buletin TV9 mendapati kawasan itu mula dipenuhi orang ramai seawal jam 10 pagi lagi.

Kebanyakan mereka datang menaiki pengangkutan awam.

Terdapat pelbagai persembahan seni seperti buskers dan lukisan karikatur.

Demi keselesaan pengunjung ruang rehat disediakan di sepanjang laluan.

Persembahan tarian tradisional dan joget lambak juga boleh disaksikan di sini.

Lebih menarik anda berpeluang untuk mencubanya, dan yang penting jangan malu.

Terdapat juga kumpulan yang mempromosikan Capoeira iaitu salah satu seni dari Brazil yang menggabungkan elemen mempertahankan diri, tarian, akrobatik, muzik dan kerohanian.

Orang ramai juga dipelawa untuk menyertai persembahan mereka.

Turut disediakan ruang untuk anak-anak kecil beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas.

Orang ramai yang ditemui menyambut baik inisiatif dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sangat terbaik dilakukan DBKL untuk semua warga Kuala Lumpur kerana dengan adanya benda macam ini dapat membuatkan kami berjalan di sini sambil menikmati pelbagai acara dan aktiviti,” kata pengunjung Muhammad Fadzil.

Menurut Nurhayu Ramat pula berharap lebih ramai peniaga diberi peluang berniaga disitu.

“Kalau ada peluang untuk vendor lain meniaga pun bagus juga sebab tengoklah baru pukul 12 tapi orang dia ramai sangat, seronoklah,” katanya.

“Kita dapat mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di hari Ahad, kerana ibu kota semua datang untuk membeli belah maka ini salah satu cara yang baiklah, jadi kita tidak terlibat dengan kesesakan, orang ramai boleh jalan dengan aman dan selamat,” kata Muhd Fikri Herman.

Difahamkan lebih banyak persembahan seni akan ditambah dan dibawa ke kawasan ini dalam masa terdekat.

Jalan TAR ditutup kepada kenderaan sejak dua minggu lalu.

Penutupan laluan itu membabitkan sebahagian Jalan TAR bermula persimpangan Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo hingga ke persimpangan Jalan Melayu bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap Ahad.

Loading...
Terkini