comscore
Tumpuan :
Santai

[VIDEO] Jimat RM40,000 empat beradik kahwin serentak

BATU PAHAT: Mahu mencipta kenangan paling indah seumur hidup mendorong empat beradik melangsungkan majlis persandingan mereka secara serentak hari ini.

Bagi Muhammad Amiruddin Mazlan, 25, yang juga anak sulung daripada empat beradik berkenaan, berkata majlis itu juga bagi membolehkan mereka berjimat ketika keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Katanya, mereka memilih tarikh Tahun Baharu Cina bagi membolehkan lebih ramai saudara mara dan kenalan memeriahkan majlis ke diaman keluarga di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini.

“Kami telah merancang majlis persandingan secara serentak ini sejak Mei tahun lalu dan bersyukur ia berjaya dilaksanakan. Hanya adik bongsu yang perempuan akad nikah hari ini, manakala kami yang lelaki sudah bernikah dua minggu lalu.

“Antara cabaran yang dihadapi untuk mengadakan majlis serentak adalah kesepakatan dalam memilih tema pakaian, pelamin dan tarikh untuk bersanding bersama.

“Pada mulanya, agak sukar untuk memilih tarikh kerana cuti masing-masing berbeza, namun akhirnya memilih hari ini kerana lebih ramai sedang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui hari ini.

Foto NSTP – Empat beradik melangsungkan majlis persandingan mereka secara serentak hari ini di Taman Bistari, Tongkang Pechah, Batu Pahat Johor.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng.

Muhammad Amiruddin bersanding dengan pasangannya, Siti Nur Shahiera Mas Dery, 27; Muhammad Fahmi Fakhruddin, 23, dan Siti Aishah Sabtu, 24; Muhammad Erwan Azharizam, 22, dengan Wan Nur Hayati Meor Ahmad, 23, dan adik bongsu, Nur Aisyah Azrina, 21, bersama Muhammad Aidiel Ashraff Khairul Nizam, 24.

Bapa mereka, Mazlan Muskon, 56, berkata majlis secara serentak dapat menjimatkan masa dan pelbagai kos yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit jika dibuat berasingan.

“Saya dan isteri, Misnah Sulaiman, 51, bersetuju dengan pilihan anak-anak dan menantu kerana inilah yang dimahukan supaya kita berbelanja secara berhemah dan bersederhana, namun tetap meriah.

“Kami membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk majlis ini dan dapat menjimatkan kira-kira RM40,000. Duit yang dijimatkan itu lebih baik digunakan untuk perbelanjaan masing-masing bagi memulakan hidup sebagai suami isteri,” katanya.

Lebih manis, katanya, amalan menabung yang beliau dan isteri pupuk untuk anak-anak sejak kecil banyak membantu mereka dalam proses persiapan majlis.

“Sebahagian wang dibelanjakan adalah hasil mereka menabung sejak kecil dan saya harap amalan mulia ini dapat diteruskan ke anak cucu keturunan saya selepas ini,” katanya.

Majlis mereka bertambah meriah dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng.

Beliau berkata, amalan majlis persandingan beramai-ramai adalah unik dan boleh dicontohi rakyat negeri ini kerana terbukti boleh menjimatkan kos selain lebih meriah.

“Ini pengalaman pertama saya menghadiri majlis persandingan serentak empat pasangan sekali gus, bukan mudah untuk melaksanakannya kerana memerlukan kesepakatan dan semangat perpaduan beberapa keluarga,” katanya.

Loading...
Terkini