comscore
Tumpuan :
Santai

Masyarakat Perancis Teruja Nikmati Makanan, Budaya dan Warisan Malaysia

PARIS, Perancis : Masyarakat Perancis teruja apabila berpeluang menikmati pelbagai makanan dan budaya Malaysia dalam satu majlis yang dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Paris.

Kedutaan Besar Malaysia di Paris dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis ‘Sepetang Menikmati Gastronomi Malaysia’ itu diadakan di ‘Rumah Malaysia’ sempena sambutan Hari Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Mohd Zamruni Khalid dalam ucapan pembukaan majllis berkenaan berkata, Malaysia dan Perancis berkongsi persamaan iaitu makanan yang juga merupakan identiti dan kebanggaan kedua-dua buah negara.

Katanya, Malaysia berbesar hati untuk mempromosikan makanan tempatan kepada masyarakat Perancis agar mereka turut dapat menghayati kulinari dan budaya Malaysia.

“Para jemputan yang hadir telah dipersembahkan dengan demonstrasi kulinari tiga hidangan popular Malaysia. Bagi pembuka selera, pengunjung ditunjukkan cara-cara membakar Satay disusuli dengan cara-cara memasak Nasi Lemak dan Sambal Tumis. Sebagai penutup tetamu dipersembahkan dengan cara-cara menyediakan Puding Raja.

“Para pengunjung turut berpeluang bergambar di dapur tradisional Melayu yang dipamerkan. Sebelum meninggalkan majlis, pengunjung dihadiahkan Sagun Kelapa diari dan penanda buku batik, teh Malaysia dan sebotol minyak masak kelapa sawit sebagai cenderahati.” katanya.

Antara yang hadir dalam program berkenaan terdiri daripada rakyat Perancis yang merupakan penggiat seni, chef masakan, selebriti, ahli sukan dan pengaruh media sosial.

Pengunjung lain turut hadir ialah Chef Mohamed Cheikh pemenang rancangan Top Chef 2021 di France, Chef Selebriti Cyril Rouquet-Prévost, petarung MMA, Elias Mahmoudi, influencer media sosial, Justin M, aktivis dan penulis, Rokhaya Diallo, pelakon, Abel Jafri dan Pengarah Filem, Yamina Benguigui.

Kedutaan Malaysia di Paris turut bekerjasmaa dengan Tourism Malaysia, Paris untuk mempromosikan makanan dan budaya Malaysia di Perancis sejak 1 hingga 4 September 2022 lalu

Malaysia telah mengambil bahagian dalam International Village Gastronomy di Jardins du Trocadéro, Paris bagi mempromosikan makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti Satay, Nasi Lemak, Karipap dan Aiskrim Malaysia. Cara-cara membuat Ais Batu Campur (ABC) dan Teh Tarik turut didemonstrasikan secara langsung.

Selain makanan, Malaysia juga menonjolkan Silat Gayung Fatani.

International Village Gastronomy merupakan acara tahunan di bawah naungan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Pada tahun ini, ia berjaya menarik hampir 50,000 pengunjung setelah terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Loading...
Terkini