comscore
Tumpuan :
Santai

Perkongsian Istimewa ‘Bicara Inspirasi Nona’

 

| Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA : Program Nona membawakan episod khas ‘Bicara Inspirasi Nona’ yang dikendalikan oleh Amyra Rosli dengan menampilkan 5 panel jemputan dari pelbagai bidang sempena sambutan ulang tahun program Nona ke-37 pada tahun ini.

Episod khas itu menyaksikan panel jemputan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada kaum wanita di negara ini.

Panel jemputan terdiri daripada pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman, Pakar Perunding Onkologi, Dr Mastura Md Yusof, Selebriti Didie Alias, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Noryana Hassan dan pengasas Mamasab International Sdn. Bhd. Siti Nor Sabrina Soobri.

Sejak bersiaran di TV3, program ini telah menjadi teman setia kepada kaum hawa dan juga sumber inspirasi kepada golongan usahawan wanita dalam menceburi bidang yang mereka minati.

Nona turut dinobatkan sebagai program televisyen yang paling lama bersiaran dalam Malaysia Book of Records pada 28 Ogos 2005 ketika ulang tahun TV3 yang ke-20.

Menurut Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, rancangan nona unik dan sentiasa mendapat jumlah tontonan tinggi menerusi kandungan yang memfokuskan isu-isu semasa wanita.

“Rancangan Nona ini agak unik kerana di sebalik populariti pengacaranya, ia kekal mendapat jumlah tontonan tinggi kerana kandungannya yang bukan sahaja memberi fokus kepada isu-isu semasa wanita, malah ia juga memberi penekanan kepada paparan berkaitan keusahawanan, perubatan dan kisah-kisah inspirasi yang boleh menjadi motivasi kepada seisi keluarga.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan mereka yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program kebanggaan TV3 ini.

“Ini termasuk kesemua pengacara serta mantan pengacara Nona, penerbit serta juruteknik yang pernah menyumbang tenaga menghasilkan program yang boleh dianggap sebahagian daripada DNA rakyat Malaysia,” katanya berucap ketika majlis Bicara Inspirasi Nona pagi tadi.

Bicara Inspirasi Nona yang diadakan buat kali pertama selepas lebih dua tahun berdepan pandemik Covid-19 adalah platform untuk program itu mencuri kembali hati penontonnya terutama golongan wanita muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam menempuh era digital, program itu juga akan terus menyemarakkan kembali ‘networking’ atau rangkaian dengan usahawan generasi digital serta menghargai sokongan penonton yang diberikan selama ini untuk terus kekal relevan sebagai rancangan pilihan penonton.

Bicara Inspirasi Nona yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara hari ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.

Turut hadir ke majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh, Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Efendi Omar.

Majlis dimulakan dengan sesi Sarapan Qalbu bersama Ustaz Harryanto Rizal Rokman sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian oleh panel jemputan yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

Kepakaran mereka dalam bidang perubatan, ketenteraan, keusahawanan malahan seni dan hiburan menjadi bukti golongan wanita juga mampu bersaing dengan lelaki dalam pelbagai bidang.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Faizal Tahir dan Hael Husaini sebagai penutup.

Loading...
Terkini