comscore
Tumpuan :
Santai

Pos Malaysia Perkenal Setem NFT Edisi Terhad

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan setem token tidak sepiawai (NFT) pertamanya untuk pengumpul, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Setem NFT edisi terhad itu boleh ditebus secara percuma dengan setiap pembelian set folder setem #Empatbelas Setem Ku edisi khas sebanyak 3,000 set, pada harga RM59 setiap satu.

Dihasilkan melalui kerjasama Pos Malaysia dan jenama runcit tempatan APOM, setiap folder setem menawarkan satu helaian setem fizikal mengandungi 14 setem dan setiap satunya direka oleh pereka yang mewakili setiap negeri di Malaysia, mempamerkan keunikan, budaya dan kebanggaan negeri-negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Charles Brewer berkata beliau berbesar hati bekerjasama dengan APOM dalam projek berkenaan bersama-sama 14 pereka berbakat besar.

“Bersama APOM, kami berbesar hati menawarkan peluang kepada pereka tempatan untuk mempamerkan bakat mereka bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global memandangkan NFT boleh dikongsi atau didagangkan di peringkat antarabangsa.
 
“Menembusi pasaran NFT merupakan pencapaian besar bagi Pos Malaysia kerana kami melengkapkan tawaran pos tradisional dengan pelbagai perkhidmatan dan produk digital, meningkatkan kecekapan dan menambah baik cara kami berhubung dengan pelanggan dalam dunia yang pesat berkembang dan maju secara digital,” katanya pada pelancaran #Empatbelas Setem Ku di APOM Suria KLCC hari ini.

Beliau berkata Pos Malaysia telah berfungsi sebagai pengendali perkhidmatan pos selama lebih 200 tahun dan aspirasi syarikat untuk kekal relevan mengikut peredaran masa dan bersedia untuk masa depan seterusnya untuk wujud 200 tahun lagi.

Pengasas bersama APOM, Chantelle Teoh berkata #Empatbelas merupakan projek kerjasama tahunan Hari Merdeka-Malaysia pihaknya bagi meraikan negeri-negeri di Malaysia.

“Tahun ini dengan sokongan daripada Pos Malaysia, 14 pereka terpilih berpeluang untuk menterjemah semula kebanggaan negeri mereka pada setem NFT yang menjangkau seluruh dunia melangkaui komuniti filateli serta setem fizikal yang telah mengeratkan rakyat Malaysia selama ini.

“Ini peluang yang baik untuk bakat tempatan mengetengahkan hasil kerja mereka,” katanya pada pelancaran berkenaan.
 
Seorang pengumpul setem yang mahu dikenali sebagai Shum, 50-an berkata beliau datang ke APOM di KLCC hari ini bagi mendapatkan setem berkenaan bagi koleksi peribadinya.

“Saya datang ke sini mahu membeli 15 set koleksi setem #empatbelas namun hanya berjaya mendapatkan 10 sahaja kerana kehabisan stok.

“Saya telah mengumpul setem Malaysia selama kira-kira 40 tahun dan saya menyukainya kerana reka bentuk yang cantik dan harganya berpatutan untuk pengumpul setem seperti saya,” katanya kepada Bernama.

Pos Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya ialah penyedia perkhidmatan pos kedua di Asia Tenggara yang mengeluarkan setem NFT selepas Thailand seterusnya menyertai frateniti pos global negara lain yang mempunyai inisiatif yang sama seperti Austria, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu dan Belanda.

Set lengkap itu mengandungi tiga sampul surat, tiga poskad, folder yang direka khas dan panduan pengguna untuk menebus setem NFT percuma.

Pengumpul yang membeli setiap set mempunyai tempoh hingga 31 Okt ini untuk menebus satu daripada 14 setem NFT yang direka.

Menurut Pos Malaysia, set setem itu boleh didapati secara dalam talian di www.pos.com.my/shop dan cawangan runcit APOM, kaunter Setem & Filateli Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur mulai hari ini manakala pembelian di pejabat pos terpilih lain boleh didapati mulai 12 Sept.– BERNAMA

Loading...
Terkini