comscore
Tumpuan :
Santai

Teruja Sambut Deepavali Walaupun Berbeza Agama

Muhamad Syafiq Suresh bersama anak perempuannya, Adriana Bawani, melayani tetamu di rumah kedua orang tuanya pada perayaan Deepavali di Flat Sri Kolam.

KUALA TERENGGANU : Perbezaan agama tidak menghalang Muhamad Syafiq Suresh, 43, untuk meraikan Deepavali bersama ibu dan bapanya.

Katanya, sudah menjadi kewajipan untuk dia bersama isteri, Noor Haslinda Mazlan, 40, dan empat anaknya, Adriana Bawani, 19, Qistina Jasmine, 17, Irdinaa Shalini, 5, dan Raihana Neela berusia 10 bulan ke rumah ibu dan bapanya untuk menyambut perayaan besar masyarakat India itu setiap tahun.

Dia yang mengusahakan restoran di bandaraya ini berkata, setiap tahun keluarganya tidak sabar untuk menyambut perayaan berkenaan malah teruja selepas dapat meraikannya seperti biasa selepas pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

“Tahun ini sambutan agak berbeza kerana dua tahun tidak dapat beraya kerana Covid-19. Keterujaan itu jelas terpancar di wajah ibu dan bapa saya, M Pusparani, 64, dan M Ramachandran, 74,” katanya ditemui selepas melayani tetamu di rumah ibu bapanya di Flat Sri Kolam, di sini, hari ini.

Menurut Suresh, sebagaimana sambutan Hari Raya Aidilfitri, persiapan dilakukan bagi menyambut Deepavali juga sama apabila dia membeli pakaian baharu dan kuih muih untuk dijamu pada tetamu.

Katanya, dia membelanjakan sebanyak RM2,000 untuk menyediakan segala keperluan seperti pakaian rasmi masyarakat India, kuih muih, hidangan dan lauk pauk untuk tetamu dan duit raya.

Suresh berkata, setiap tahun dia membeli pakaian rasmi masyarakat India sama ada di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang kerana sukar untuk mendapatkan pakaian berkenaan di negeri ini.

“Setiap tahun, selepas solat subuh, saya akan datang ke sini (rumah kedua orang tuanya) membantu ibu menyiapkan makanan bagi memastikan makanan disediakan halal untuk dimakan tetamu yang sebilangan besar adalah masyarakat beragama Islam.

“Menu wajib yang menjadi turun temurun setiap kali perayaan adalah nasi beriani, kari kambing dan ayam goreng berempah selain manisan tradisi masyarakat India iaitu ‘keseri’.

“Selesai memasak ibu dan bapa akan ke kuil untuk upacara keagamaan sementara saya pulang ke rumah untuk menjemput isteri dan anak beraya bersama ibu dan bapa,” katanya yang tinggal di Perubahan Awam Kos Rendah (PAKR) Hiliran, di sini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini