MELAKA: Seramai 1,000 peserta menyertai program Fit Malaysia Parlimen Hang Tuah Jaya membabitkan pelbagai jenis sukan di Ayer Keroh hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, program berkenaan membabitkan acara larian, senamrobik, berbasikal dan aktiviti kecergasan terbabit membuka peluang kepada semua golongan tanpa mengira peringkat usia untuk mencuba.
Katanya, apa yang menarik walaupun hujan lebat sejak awal pagi namun peserta kental menyertai setiap program sekali gus meningkatkan budaya bersukan dalam kalangan komuniti.
Menurutnya, Fit Malaysia bukan sekadar sebuah jenama tetapi ia juga simbol aspirasi rakyat Malaysia yang ingin kekal sihat dan aktif.
“Program Fit Malaysia juga sebahagian daripada misi Kementerian Belia dan Sukan untuk membudayakan sukan menerusi ‘Gerakan Sukan Untuk Semua’ (Sport For All Movement) yang merangkumi pelbagai aktiviti kecergasan.
“Malah ia medium memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional pelbagai kaum serta meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup aktif dan menjadikan sukan sebagai budaya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.