comscore
Tumpuan :
Sukan

12 agensi media sukan beraksi di Piala Dunia MiniFootball SAM-Media 2022

Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan menyerahkan bola rasmi kejohanan kepada Timbalan Jawatankuasa Exco Sukan SAM Rozaidi Zulkifli

OLEH: HAZREEN MUBARAK

BUKIT JALIL: Dalam menghangatkan lagi bahang Piala Dunia Qatar 2022, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bakal menganjurkan Piala Dunia MiniFootball SAM-Media 2022, pada 12 November ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Exco Sukan SAM Bazly Azmi, sejak penyertaan dibuka 3 hingga 7 November, kejohanan ini mendapatkan sambutan cukup menggalakkan menerusi penyertaan penuh 12 pasukan dari kalangan pengamal media sukan Malaysia.

Antara agensi yang terlibat ialah TV3, RTM, BERNAMA, Kosmo!, Harian Metro, Berita Harian, Utusan, MFL, Astro Awani, Cakap Sukan, NSTP dan Astro Arena.

“Bukan sahaja hebat menulis berita malah kami juga hebat bersukan. Kejohanan ini bakal menjadi penentu siapa yang terbaik dari kalangan terbaik. Semoga berjaya kepada semua pasukan” katanya.

Ia bakal diadakan Sabtu ini di Padang Turf Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dengan sepakmula dijadual bermula 8 pagi.

Mengikut format pertandingan, 12 pasukan akan berentap dalam dua kumpulan secara round-robin sebelum dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan layak beraksi di separuh akhir dan seterusnya penentuan juara.

Empat pasukan terbaik akan membawa pulang hadiah wang tunai dan pingat dengan tempat ke-3 dan 4 meraih RM250, naib juara RM500 sementara juara RM1,000 serta trofi.

Dan petang tadi, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjadi penaja bola rasmi kejohanan Piala Dunia MiniFootball SAM-Media 2022.

Majlis ringkas penyerahan disempurnakan presidennya Dato’ Ab Ghani Hassan kepada Timbalan Pengerusi Exco Sukan SAM Rozaidi Zulkifli.

Loading...
Terkini