comscore
Tumpuan :
Sukan

12 mata okay, 13 mata lebih manis – Pan Gon 

FOTO: FAM

KELANA JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon optimis sasaran meraih sekurang-kurangnya 12 mata pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mampu dicapai.

Pengendali dari Korea Selatan itu melihat, komitmen dan semangat juang pemain pasukan kebangsaan bakal merealisasikan sasaran itu.

Pan-gon berkata kutipan mata itu cukup realistik sekali gus menuntut pemain memberikan fokus terlebih dahulu pada satu perlawanan ke satu perlawanan.

Tegas beliau,  tumpuan utama adalah untuk memulakan aksi pertama Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok  dengan keputusan positif.

“Kita ada enam perlawanan penting pada peringkat kumpulan dan semuanya cukup penting. Sasaran pasukan adalah untuk mengutip tiga mata pada setiap perlawanan.

“Mungkin ketika bertemu Oman kita boleh cipta kejutan dan siapa tahu kita boleh mendapat enam mata maksimum sewaktu menentang Taiwan.

“Namun, cukup penting untuk kita melakar keputusan positif dahulu bertemu Kyrgyzstan.“Jika ditanya mengenai kutipan mata keseluruhan untuk layak, saya rasa 12 mata keseluruhan daripada enam perlawanan cukup bagus tetapi lebih manis andai mengutip 13 mata,” kata Pan Gon  pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, sebentar tadi.

Pengendali berusia 54 tahun itu juga berharap  penyokong Harimau Malaya membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan untuk memenangi perlawanan pertama kelayakan itu.

“Pemain ke-12 diharap boleh memenuhi stadium kerana sokongan anda sudah pasti membantu pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif,” katanya.

Loading...
Terkini