comscore
Tumpuan :
Sukan

2-11: Sempat rasai nikmat walau seketika – Vera

Pemain Selangor FC, Richmond Boakye-Yiadom (kanan) cuba dihalang pemain Kelantan FC, Muhammad Ghaffar Abdul Rahman dalam aksi di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Pertembungan malam tadi adalah saat sukar buat The Red Warriors meskipun sempat merasai nikmat seketika apabila mencetak dua gol di awal permainan.

Pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera tidak dapat menyembunyikan punca Kelantan teruk dibelasah Selangor yang dikaitkan dengan ketiadaan tonggak import dalam pasukan.

Menurut Vera, 50, pemain yang terdiri daripada ubi muda hanya mampu beraksi dengan baik pada 20 hingga 30 minit awal sebelum dibelasah pelawat sehingga bolos 11 gol.

“Kita terlalu cepat hilang bola, terburu-buru dan panik, pemain saya tak mampu kuasai permainan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, malam tadi.

Bekas Pengendali Persita Tangerang itu berkata, kebanyakan pemain mudanya masih kurang pengalaman dengan hanya menempuh lima perlawanan.

Katanya, tidak mudah untuk mereka beraksi dengan minit permainan yang sedikit apatah lagi melawan pasukan gergasi seperti The Red Giants.

“Kita lawan dengan pasukan kuat, pemain saya gementar, itu normal untuk pemain muda, tapi lebih berat kita tak mempunyai pasukan yang seimbang, nak tukar pemain susah.

“Kita cuba pemain malah import (Siringo Ringo) di beberapa posisi, kalau satu, dua pemain cedera sudah sangat berat,” katanya.

Vera juga mengakui sepanjang pengalaman dalam arena bola sepak, situasi pasukan Kelantan ketika ini dianggap ‘tidak normal’ apabila tidak mempunyai pemain yang cukup berkualiti dan import untuk beraksi.

“Saya bukan cakap sebab bela diri, pemain tak salah kerana mereka berusaha, mereka main dengan hati untuk Kelantan, mereka bermain dengan bangga,” katanya.

Kelantan kekal di kedudukan kedua tercorot liga selepas mengumpul hanya dua kemenangan, dua seri dan 17 kekalahan dengan bolos 87 gol musim ini.

Loading...
Terkini