comscore
Tumpuan :
Sukan

2 aksi penentu tidak dilangsungkan serentak, satu ketidakadilan buat HM

Pemain Harimau Malaya menjalani sesi latihan terakhir menjelang aksi menentang Taiwan malam ini.-FOTO: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Aksi terakhir Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 membabitkan Malaysia berdepan Taiwan dan Oman menentang Kyrgyzstan boleh dianggap tidak ‘adil’ memandangkan dua aksi penentuan itu tidak dilangsungkan secara serentak.

Pertembungan Malaysia dan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini berlangsung pada jam 9 malam manakala sepak mula Oman yang melayan kunjungan Kyrgyzstan berlangsung kira-kira sejam selepas aksi di Kuala Lumpur berakhir.

Jika Malaysia berjaya meraih kemenangan 8-0 sekalipun, skuad Harimau Malaya tidak boleh bergembira memandangkan mereka masih perlu menunggu aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos berakhir terlebih dahulu.

Situasi ini jelas memberi kelebihan kepada Oman dan Kyrgyzstan yang sudah mengetahui keputusan aksi Malaysia-Taiwan sekali gus menyaksikan mereka boleh bermain secara santai pada aksi penentuan itu.

Jika kedua-dua pasukan itu terikat, mereka akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selaku juara dan naib juara Kumpulan D serta mendapat slot automatik ke Piala Asia 2027.

Mengulas mengenai situasi terbabit, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjelaskan badan induk bola sepak Asia itu tidak boleh melaksanakan sepak mula bagi aksi terakhir pusingan kelayakan atas beberapa faktor tertentu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menyatakan, mereka berdepan beberapa kekangan yang menghalang sepak mula bagi aksi penentuan dilangsungkan secara serentak bagi pasukan dalam kumpulan yang sama.

“AFC tidak dapat melaksanakan itu (sepak mula serentak bagi aksi terakhir) kerana perbezaan waktu antara pasukan yang bertanding dan hak siaran televisyen yang dipegang oleh negara masing-masing.

“Dulu pun AFC tidak buat perkara itu untuk semua pasukan memandangkan perbezaan waktu yang terlalu besar,” kata Windsor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini