
LONDON: Mohamed Salah meledak dua gol untuk melonjak Liverpool sembilan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mengalahkan Bournemouth 2-0 lewat malam tadi.
Dua gol Salah membolehkannya mengatasi Frank Lampard sebagai penjaring gol keenam terbanyak dalam sejarah EPL dengan 178 gol pada satu lagi hari penting buat The Reds dalam usaha mereka menyamakan rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris.
Bournemouth tidak kalah dalam 12 perlawanan bagi semua pertandingan dan mengalahkan Arsenal serta Manchester City di laman sendiri musim ini.
The Cherries pasti berasakan mereka tidak bertuah untuk melebarkan rentetan itu apabila percubaan Antoine Semenyo dan Marcus Tavernier pada setiap babak terkena palang.
Bournemouth juga berang dengan pemberian sepakan penalti yang membuka tirai jaringan selepas setengah jam apabila Cody Gakpo dilihat terjatuh sendiri ketika meluru ke dalam kotak penalti bukannya dibentes oleh Lewis Cook.
VAR tidak mencelah untuk mengubah keputusan asal pengadil Darren England dan Salah tidak melakukan kesilapan untuk merembat masuk penalti bagi gol ke-20 buatnya dalam EPL musim ini.
Bournemouth menekan untuk mencari gol penyamaan selepas rehat dan penyerang Justin Kluivert terlepas dua peluang keemasan di tengah-tengah percubaan Tavernier yang terkena palang.
Namun detik magis daripada Salah memastikan tiga mata penting dalam perebutan kejuaraan apabila dia melencongkan tendangan kaki kiri ke penjuru gol pada minit ke-75 hasil umpanan Curtis Jones.
“Berasa amat bagus untuk menjaringkan gol, untuk menang, tetapi sasaran utama saya musim ini adalah memenangi Liga Perdana bersama pasukan jadi kami perlu teruskannya,” kata Salah, yang mana masa depannya di Anfield selepas musim ini masih tidak menentu.
Pasukan tangga kedua Arsenal berdepan tugas getir jika mereka mahu mencabar anak buah Arne Slot apabila melayan kunjungan juara bertahan Manchester City tengah malam ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.