comscore
Tumpuan :
Sukan

294 pemain hangatkan Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 294 pemain termasuk 21 wakil negara bakal menghangatkan saingan Masters Malaysia yang dijadual bermula dari 21 hingga 26 Mei ini di Arena Axiata Bukit Jalil.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata meskipun pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, Masters Malaysia tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Lima pemain kelompok 10 terbaik dunia bagi perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan termasuk wakil Denmark, Viktor Axelsen (no.1) dan Anders Antonsen dari Denmark (no 4), Li Shi Feng dari China (no 7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (no 8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (no 10), selain pemain negara Lee Zii Jia (no 11), akan bersaing merebut gelaran.

“Manakala dalam perseorangan wanita, tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia diketuai Han Yue (no 7) dan Wang Zhi Yi dari China (no 9) dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (no 10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (no 11).

“Dalam acara beregu lelaki, bakal dicabar hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (no 4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (no 5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (no 11).

“Beregu wanita bakal menyaksikan antara pemain Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga (no 13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (no 14).

“Beregu campuran pula menyaksikan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh ee Wei (no 9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (no 10), sebagai pilihan utama, menghangatkan lagi perebutan kejuaraan,” katanya.

Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran).

Dalam pada itu, Norza memaklumkan penjualan tiket bagi kejohanan bertaraf Super 500 itu mendapat sambutan hangat apabila lari dijual terutama untuk peringkat suku akhir hingga final.

Katanya, penjualan tiket bagi kejohanan berstatus Super 500 itu mendapat respon positif terutama bagi kategori Platinum dan Premium, membuktikan kejohanan berkenaan bakal menjanjikan pertarungan sengit kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak untuk dibeli,” kata Norza.

Beliau turut menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya pada tiga hari pertama.

“Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Arena Axiata pada tiga hari pertama untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini