Oleh: Hazreen Mubarak
KUALA LUMPUR: Perebutan gelaran juara keseluruhan temasya Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2024 kian rancak menyaksikan tiga negara berkongsi kutipan pingat emas selepas tamat lapan hari pertandingan.
Berbaki sehari lagi sebelum majlis penutup, Korea Selatan, Iran dan China mengumpul 16 pingat emas dengan masih ada dua lagi sukan berlangsung esok iaitu bola sepak dan gusti.
Namun kedudukan semasa masih meletakkan Korea Selatan di tangga teratas berdasarkan kelebihan 10 perak, berbanding Iran di kedudukan kedua dengan lapan perak dan China ketiga (tujuh perak).
Kontinjen Malaysia pula jatuh satu anak tangga untuk berada di posisi ketujuh dengan meraih tiga pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.
Emas ketiga Malaysia diraih menerusi atlet olahraga, Shahrul Azmeer Azman dalam acara 400 meter lari berpagar, semalam.
Atlet berusia 28 tahun itu mencipta sensasi apabila mengatasi atlet pilihan dari China, Wang Ying Hang dengan masa terpantas 57.97 saat.
Sementara itu wakil India — Ahammed Kuzhakke Ridhvan meraih gangsa.
Terdahulu, kontinjen China seperti diramal mendominasi acara ping-pong yang berlangsung di Salak Selatan.
Lebih gemilang, wakil negara tembok besar itu mengungguli semua tujuh kategori utama iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita serta beregu campuran pada hari terakhir sukan itu diadakan, petang tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.